Isu rumit akibat Covid-19

SINGAPURA 9 Ogos – Singapura kini berada dalam kedudukan yang lebih berdaya tahan Covid-19 dan boleh menjangkakan pembukaan semula ekonomi secara bertahap-tahap.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Amanat Hari Kebangsaan semalam bagaimanapun berkata, terdapat beberapa isu rumit yang timbul dalam masyarakat akibat krisis Covid-19 yang perlu ditangani dengan segera.

Tiga isu utama itu, adalah berkaitan pekerja bergaji rendah, isu pekerja migran serta menjaga keharmonian bangsa dan agama di Singapura.

Katanya, usaha menangani Covid-19 telah menjejas semua warga Singapura dan meningkatkan lagi keperluan untuk menjaga dan membantu satu sama lain.

“Rakyat Singapura telah berganding bahu, saling mengambil berat dan membantu satu sama lain sepanjang krisis ini.

Janganlah kita memandang remeh perpaduan yang kita ada. Covid-19 sebenarnya meluaskan jurang perselisihan dalam masyarakat kita. Ia membangkitkan isu-isu sukar yang kita perlu hadapi dan tangani dengan segera,” katanya.

Antara langkah utama yang perlu diusahakan adalah membantu pekerja bergaji rendah yang merupakan antara golongan yang paling terjejas oleh pandemik ini.

Menurut Lee, pemerintah akan memberikan bantuan yang lebih kepada golongan tersebut bagi menghadapi krisis dan juga mempertingkat kemahiran dan memperbaiki kehidupan mereka.

Sebuah kumpulan kerja tiga pihak kini melakarkan saranan tambahan kepada skim Daya Kerja dan Model Gaji Progresif (PWM) demi menambah pendapatan dan mewujudkan peluang baru bagi golongan tersebut meningkatkan kemahiran.

“Kita perlu memastikan kemajuan sebenar bagi para pekerja bergaji rendah. Ini adalah ciri penting dalam pertumbuhan yang inklusif.

“Di Singapura, tidak kira di mana anda bermula dalam kehidupan anda, kami akan pastikan anda dan anak-anak akan dapat memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk memperbaiki diri dan maju ke hadapan,” katanya.

Menyentuh tentang isu pekerja migran, Lee meyakinkan warga Singapura beliau faham keprihatinan diketengahkan. Meskipun pekerja migran dapat membantu mengembangkan ekonomi Singapura, apabila bilangannya semakin ramai “dengan semula jadi rakyat berasa bimbang tentang persaingan untuk pekerjaan”.

Ini lebih-lebih lagi dengan ketidakpastian yang timbul ekoran Covid-19.

“Pemerintah sedang menanganinya. Kita perlu menyesuaikan dasar-dasar bagi mengawal mutu, jumlah dan di mana tertumpunya pekerja hijrahan di Singapura.

“Jika kita lakukan ini semua dengan baik, kita boleh terus menerima kehadiran pekerja hijrahan dan pendatang baru, seperti yang harus kita lakukan,” ujarnya.

Tambahnya, pekerja migran membantu mewujudkan lebih banyak peluang untuk Singapura dan memperkukuh tenaga kerjanya dengan kepakaran dari seluruh dunia. Ini akan membentuk lingkaran yang bermanfaat di mana lebih banyak syarikat akan terdorong untuk melabur, langsung mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Singapura.

Kata Lee, merosakkan hubungan dengan dunia luar akan menjejas reputasi Singapura sebagai hab global dan serantau.

Lebih penting lagi, ia bercanggah dengan “keterbukaan dan sikap berlapang dada untuk menerima kehadiran orang yang berbeza daripada kita.”

“Kita pegang erat nilai-nilai ini kerana ia telah mengukuhkan kita dan membantu Singapura mencatatkan kemajuan, dekad demi dekad, sebagai satu negara,” katanya.

(PM Lee berucap di Tasik Simfoni, Kebun Bunga)

Related posts

Leave a Comment