PUTRAJAYA 28 Mac – Lima lagi lebuh raya bakal melaksanakan sistem pembayaran terbuka tol bagi memberi pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna kenderaan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau memberitahu, lebuh raya terbabit adalah Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX).
Katanya , syarikat konsesi lima lebuh raya itu bersetuju untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan sistem berkenaan, yang akan bermula pada pertengahan September ini.
Dalam kenyataan media, beliau berkata, sistem pembayaran terbuka itu akan dilaksanakan secara berfasa dan menjadikan sejumlah 11 lebuh raya terbabit dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka, setakat ini.
Keputusan untuk melaksanakan sistem pembayaran terbuka itu dicapai melalui pelbagai proses rundingan antara Bahagian Pembangunan dan Penswastaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan semua pihak berkepentingan, termasuk syarikat konsesi sejak 2022 lagi.
“Rundingan seumpama ini adalah usaha berterusan KKKR dan perlu diadakan bagi memastikan pelaksanaan sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) dapat dijayakan,” katanya
Nanta berkata, usaha itu juga adalah langkah awal yang diambil oleh KKR dan pihak terbabit bagi memastikan keberkesanan sistem yang efisien selain menyelesaikan isu yang mungkin timbul sebelum pelaksanaan sepenuhnya MLFF.
“Perkara ini amat saya tekankan bagi memastikan pengguna tidak mengalami sebarang kesukaran ketika pelaksanaan sepenuhnya MLFF tidak lama lagi.
“Lokasi pelaksanaan Proof of Concept (POC) MLFF sudah diputuskan dengan Lebuhraya Sungai Besi dipilih sebagai lokasi POC yang pertama,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan POC akan dibuat pada penghujung Oktober 2023 bagi menilai sistem MLFF sebelum ia dilaksanakan bagi semua lebuh raya di negara ini.
KKR juga sedang mengadakan rundingan bersama syarikat konsesi yang lain bagi mendapatkan satu lagi lebuh raya bagi pelaksanaan POC MLFF dan keputusan lokasi POC kedua akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Sistem pembayaran terbuka dan MLFF tidak boleh dilaksanakan semalaman. Ia perlu melalui pelbagai peringkat.
“Perkara itu tentunya bukan mudah dan memerlukan perancangan teliti dan penggunaan teknologi yang berpatutan serta rundingan bersama pelbagai pihak sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Pada masa yang sama , beliau meminta kerjasama semua pihak supaya bersabar dan memberi sedikit masa kepada pasukan di KKR, yang komited melaksanakan sistem pembayaran terbuka itu, sekali gus memastikan transisi MLFF dapat dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.
