PM sekadar berseloroh

TASEK GELUGOR 19 Okt. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kenyataannya berhubung pemecatan anggota Jemaah Menteri Perikatan (PN) di Bagan Datuk baru-baru ini hanya sekadar berseloroh.

Katanya, jika beliau serius mengenai perkara itu, sudah lama kesemua menteri berkenaan dipecat daripada Kabinet tetapi kesemua mereka masih berada dalam Kabinet serta memegang jawatan masing-masing.

“Dalam hal ini, saya berseloroh atau serius? Kalau saya serius dia (menteri-menteri PN) sudah kena pecat dah, tapi dia (mereka) masih ada dalam Kabinet, saya tak pecat tu maksudnya saya berselorohlah,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditemui di Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dr Abd Latiff Ahmad, berkata, masih belum terlambat untuk Ismail Sabri memecat anggota jemaah menteri PN yang memangku jawatan ketika ini.

Anggota Kabinet yang juga ahli Majlis Pimpinan Bersatu itu terkilan dengan kenyataan Ismail Sabri mengenai ‘pecat menteri’, yang dipercayai merujuk pada tindakan 12 menteri PN yang menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah pembubaran Parlimen.

Abd Latiff berpendapat, kenyataan ‘pecat menteri’ itu tidak sepatutnya disebut dalam ucapan politik walaupun disampaikan secara gurauan dan sinikal.

Related posts

Leave a Comment