Anwar puas hati lawatan ke Kemboja

PHNOM PENH 28 Mac –  Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berpuas hati dengan lawatan rasmi sehari beliau ke Kemboja semalam yang memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik yang terjalin sejak 66 tahun lalu.

Katanya, lawatan itu memberi peluang beliau membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau serta antarabangsa dengan rakan sejawatannya, Hun Sen.

Bercakap kepada media Malaysia di akhir lawatannya, Anwar berkata, dalam
mesyuarat dua hala, Hun Sen turut mempelawa Malaysia supaya menggunakan produk buluh tempatan di sini.

Beliau juga berpeluang berbuka puasa dengan 6,000 orang Islam di Kemboja dalam majlis yang dihoskan oleh Hun Sen dan bertemu dengan rakan-rakan dari Malaysia di Kedutaan Malaysia di sini.

Mengenai isu ketegangan di Myanmar yang dibangkitkan oleh Hun Sen, beliau berkata perkara itu lebih sesuai dibincang dan dirundingkan di peringkat ASEAN berikutan isu di Myanmar adalah politik dalaman negara berkenaan.

Perdana Menteri memulakan lawatan dengan dibawa ke Peace Palace, pejabat rasmi Perdana Menteri Kemboja untuk diberikan sambutan rasmi dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, diikuti lintas hormat diiringi Hun Sen.

Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa, disusuli sidang media bersama untuk memaklumkan hasil perbincangan sebelum menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Kemboja.

MoU itu adalah mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja bagi Sektor Domestik serta Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja bagi Sektor Formal yang akan memperkasakan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam sektor perburuhan.

Anwar turut menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni, di Istana Diraja Kemboja selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat Kemboja, Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja, Heng Samrin.

Beliau juga berpeluang solat tarawih dan menyampaikan tazkirah ringkas di Masjid Al-Serkal.

(Foto FB Anwar Ibrahim)

Anwar Ibrahim menghadap Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni.

Selepas majlis iftar anjuran Hun Sen, Anwar solat tarawih, menyampaikan tazkirah dan menyampaikan sumbangan RM50,000 untuk penambahbaikan Masjid Al-Serkal.

Sambutan rasmi di Peace Palace, pejabat rasmi Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen

Related posts

Leave a Comment