Tiada soalan berkaitan lawatan PM ke Saudi

KUALA LUMPUR 28 Mac – Dewan Rakyat didakwa menolak soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang ingin tahu hasil lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal Perdana Menteri telah melepaskan peluang untuk menjelaskan perkara berkenaan.

“Seperti yang telah dicabar Pengarah JKOM – saya hadir ke sesi PM Question Time pagi ini. Malangnya soalan saya berkenaan lawatan rasmi YAB Tambun ke Arab Saudi telah ditolak.

Tapi saya sudah sediakan “backup plan” semalam iaitu Usul Tergempar dalam Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2). Maka tiada alasan tidak munasabah untuk Menteri Luar Negeri jelaskan kepada Dewan Rakyat,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.

Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu berkata rakyat dan pembayar cukai berhak tahu apa berlaku di Arab Saudi, siapakah yang wajar bertanggungjawab dan berapa kos lawatan tersebut.

Semalam, pada sidang media, beliau mendakwa lawatan itu gagal kerana seperti yang dimaklumkan Wisma Putra dalam kenyataan media sebelum itu, Perdana Menteri dijemput oleh Raja Salman dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohd Salman.

“Ini perlu dirungkaikan oleh Perdana Menteri pada PMQT. Kami harap soalan yang kami bawa oleh pembangkang dijawab beliau sendiri. Kami ada, kami tidak lari atau pergi lapor polis, kita mahu dengar jawapan dalam Dewan Rakyat yang mulia.

“Kami tidak mahu salahkan Wisma Putra, malah tidak mahu juga salahkan kerajaan Arab Saudi. Kami nak tanya kenapa Jabatan Perdana Menteri, tergesa-gesa mengatakan seolah-olah memang ada jemputan rasmi sedangkan tidak ada, “ katanya.

Related posts

Leave a Comment