PN tampil ‘poster boy’ hadapi PRN

AMPANG 26 Mac – Perikatan Nasional (PN) akan menampilkan calon ‘poster boy’ menteri besar daripada parti gabungan itu di Negeri Sembilan dan Selangor sebagai antara strategi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor, bagaimanapun tidak memperincikan calon ‘poster boy’ itu sama ada daripada Pas, Bersatu atau Gerakan.

“Tak boleh habaq (beritahu) lagi, rahsia. ‘Poster Boy’ di negeri, mungkin di Negeri Sembilan kita akan ada calon menteri besar daripada PN.

“Di Selangor akan ada calon menteri besar daripada PN. Itu ‘poster boy’. Kita akan tampilkan calon menteri besar kita,” katanya pada sidang media majlis berbuka puasa sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di sini semalam.

Di Pulau Pinang pula, PN menyasarkan untuk merampas sebahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang daripada Pakatan Harapan (PH).

Mengenai persiapan menjelang PRN yang dijangka penghujung Julai atau awal Ogos ini, Muhammad Sanusi berkata, PN menubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri  termasuk melantik mas’ul atau koordinator yang dianggotai pemimpin tertinggi parti gabungan itu.

“Mas’ul macam koordinator dalam kalangan pimpinan, seorang daripada Bersatu dan seorang lagi daripada Pas.

“Macam di Negeri Sembilan. kita ada (Timbalan Presiden Bersatu) Datuk Seri Peja (Ahmad Faizal Azumu). Di pihak Pas ada (Setiausaha Agung) Datuk Seri Takiyuddin (Hassan).

“Di Pulau Pinang kita ada (Naib Presiden Pas) Datuk Idris Ahmad. Selangor kita lantik (Naib Presiden Bersatu) Datuk Dr Radzi Jidin. Semua isu dibincang dan tak perlu sampai ke pusat. Pakai mas’ul untuk pakat-pakat berbincang,” katanya.

Sebelum ini ada laporan mengatakan PN memutuskan tidak akan menampilkan mana-mana pemimpinnya sebagai ‘poster boy’ untuk berdepan PRN.

Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari berkata,  tiga nama disebut Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, sebelum ini juga bukanlah calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya menawan Selangor dalam PRN nanti.

Selain Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, dua lagi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa,  Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Putrajaya,  Dr Radzi Jidin.

“Kami bertiga sudah bersetuju dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu supaya tidak ada ‘poster boy’ di Selangor,” katanya.

Mengulas tiga nama disebut Muhyiddin itu, katanya, mereka bertiga diberikan tanggungjawab oleh Pengerusi PN untuk memperkukuhkan parti bagi mendepani PRN nanti.

Related posts

Leave a Comment