Saingan calon PM Thailand

BANGKOK: Prayuth Chan-o-cha menerima pencalonan partinya, Parti United Thai Nation sebagai calon utama untuk merebut jawatan Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Parti yang baharu ditubuhkan itu juga menyenaraikan 400 calon yang bakal bertanding pada pilihan raya 14 Mei nanti.

Prayuth, bekas jeneral berusia 69 tahun ketika hadir di hadapan 1,000 penyokong di pinggir Bangkok, berjanji akan membawa perubahan baharu dalam arena politik negara yang dilihat bakal mengakhiri konflik berterusan selama beberapa dekad.

“Kita akan mewujudkan satu ekosistem politik baharu. Beberapa polisi mahupun dasar akan menangani isu rakyat dan negara akan diketengahkan. Apa yang penting, kita akan bergerak jauh daripada konflik,” katanya.

Prayuth mula mentadbir selepas rampasan kuasa tentera pada tahun 2014, berikutan rusuhan jalanan di Bangkok terhadap kerajaan.

Bagaimanapun, Prayuth berdepan laluan mencabar untuk kembali menjawat jawatan Perdana Menteri berikutan tinjauan pendapat meletakkan beliau ketinggalan jauh di belakang Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan Thaksin serta calon dari Parti Progresif.

Beliau juga menghadapi cabaran daripada Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan.

Related posts

Leave a Comment