Malaysia tunggu tambahan 350 jemaah haji

SEPANG 25 Mac – Malaysia masih menunggu jawapan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan tambahan 350 lagi kuota haji bagi tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata rayuan bagi penambahan kuota itu sudah dikemukakan pada Januari dan Februari lalu berikutan pertambahan populasi penduduk negara ini yang sudah meningkat kepada 31.95 juta orang.

Tahun ini, kuota yang diperuntukkan kepada Malaysia adalah 31,600, dan jika tambahan diluluskan ia membawa kepada 31,950 jemaah.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Karnival Pengelola Jemaah Haji 1444H/2023 di Movenpick Hotel and Convention Centre, Sepang yang akan berlangsung sehingga esok, 26 Mac.

Mohd Na’im berkata, hasrat bagi penambahan kuota itu sudah disampaikan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah pada Januari dan Februari lalu.

“Semasa saya ke Jeddah pada Januari lalu sudah dikemukakan rayuan ini dan apabila Dr Tawfiq buat kunjungan ke Malaysia pada Februari lalu saya juga sudah kemukakan rayuan sama. Jadi kita harap kerajaan Arab Saudi akan beri pertimbangan,” katanya.

Jumlah penduduk negara ini bertambah mengikut Prospektus Populasi 2019 yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu seramai 31.95 juta orang.

Related posts

Leave a Comment