CHICAGO: Satu kluster mengandungi 10 kes pneumonia di Argentina sedang dipantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang setakat ini menyebabkan tiga kematian.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) iaitu pejabat wilayah WHO, kes itu ada kaitan dengan sebuah klinik swasta di bandar San Miguel de Tucuman, di bahagian barat laut negara itu.
Dalam sebuah laporan awal Selasa lalu, lima petugas penjagaan kesihatan dan seorang pesakit yang dirawat di wad rawatan rapi di klinik berkenaan menghidapi simptom yang muncul antara 18 hingga 22 Ogos lalu.
Khamis lalu, pegawai kesihatan tempatan melaporkan tiga lagi kes menjadikan keseluruhan sembilan kes, termasuk tiga kematian.
Simptom berkenaan termasuk demam, sakit otot dan perut serta sesak nafas, dengan beberapa pesakit menghidapi pneumonia membabitkan kedua belah paru-paru.
Ketiga-tiga individu yang maut itu turut menghidapi masalah kesihatan lain dan semalam, Argentina melaporkan tambahan satu kes baharu.
Sementara itu pakar penyakit berjangkit dari Universiti Minnesota, Dr Michael Osterholm, berkata berikutan kebanyakan kes membabitkan paru-paru, berkemungkinan besar punca jangkitan adalah akibat sesuatu yang dihidu oleh pesakit.
Beliau pada pada awalnya mengesyaki penyakit Legionnaire yang berpunca daripada menghidu titisan air mengandungi bakteria Legionella, namun ujian yang dijalankan menunjukkan negatif.
Sehubungan itu, PAHO dan WHO sedang memantau penularan berkenaan selain membantu pegawai kesihatan tempatan menjalankan siasatan.
Menurut Dr Osterholm, ‘penyakit misteri’ ada kalanya berlaku dan selalunya ia boleh dijelaskan dengan beberapa wabak tempatan yang tidak mempunyai kesan pandemik.
Katanya, beliau menjangkakan maklumat paling sahih akan diperoleh daripada pegawai kesihatan Argentina dalam tempoh lima hingga tujuh hari lagi.