Apabila nafsu mata atasi nafsu perut

BERBUKA di mana hari ini? Di rumah, pejabat, restoran, hotel, masjid atau surau? Semuanya terpulang kepada individu mengenai apa yang mereka mahu makan atau setakat mana kemampuan kewangan untuk berbelanja.

Tidak kurang juga yang lebih selesa memasak sendiri sekiranya mereka suri rumah sepenuh masa, mempunyai anak yang ramai. Tetapi bagi yang bekerja, tidak sempat memasak atau malas ke dapur, Bazar Ramadan adalah pilihan yang lebih mudah.

Juadah percuma pula tentunya boleh berkunjung ke masjid atau kebanyakan surau yang menyediakan makanan dan minuman ala kadar untuk berbuka.

Tahun ini, majlis iftar atau berbuka puasa lebih meriah selepas era pandemik Covid-19. Pastinya kita masih ingat pengalaman tanpa majlis berbuka puasa, terhad dan terbatas. Ada juga Bazar Ramadan tidak sempat ke penghujungnya.

Hari ini pesta makanan lebih bebas. Di seluruh pelosok negara ada saja gerai-gerai yang menjual pelbagai juadah makanan sama ada untuk berbuka atau bersahur. Macam-macam pilihan yang ada, tidak seperti semasa pandemik Covid-19.

Menjelang Ramadan banyak hotel atau restoran menawarkan pakej berbuka. Bagi yang berpendapatan tinggi atau mendapat tajaan berbuka, mereka akan lebih mewah sewaktu berbuka dengan harga bufet Ramadan mencecah sehingga RM200.

Tentunya dengan harga yang setinggi itu, macam-macam juadah disediakan. Di situ ada pelbagai jenis nasi – beriyani, nasi ayam, nasi putih. Lauk­nya pula ayam, daging, kambing, ikan, udang, ketam dan macam-macam lagi.

Ti­dak ketinggalan sayur­-sayuran dan ulam. Kuih muih, bubur dan sup di samping sate, mi rebus, sup, asam laksa dan sebagainya. Pen­cuci mulut juga sama. Air pula pelbagai – teh tarik, sirap­ bandung, air batu campur, air tebu, soya dan pelbagai lagi.

Apa pun ketika di Bazar Ramadan, biar alah membeli, me­nang memakannya. Jangan sampai makanan atau minuman berak­hir­ di da­lam tong sampah atau longkang. Kerana lebihan makanan itu sewajarnya boleh memberi makan kepada orang lain.

Harus diingat, tahun ini, Malaysia berkemungkinan berhadapan dengan peningkatan lebih 75,000 tan metrik sisa makanan sempena Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ismail Mokhtar berkata, sisa makanan yang dihasilkan dijangka meningkat daripada kira-kira 17,000 tan metrik sehari pada bulan biasa kepada lebih 19,000 tan metrik sehari dalam bulan puasa.

Menurutnya, daripada 38,000 tan metrik sisa pepejal keseluruhan yang dikeluarkan setiap hari di seluruh Malaysia, sebanyak 44 peratus daripadanya adalah sisa makanan. Satu jumlah yang besar pembaziran makanan.

Berdasarkan kajian pada tahun sebelumnya, sisa makanan pada musim perayaan biasanya meningkat 15 hingga 20 peratus dan ia trend yang tidak berubah sejak beberapa tahun lalu.

Justeru amat bertepatan sekali titah ingatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat supaya tidak mensia-siakan pahala Ramadan dengan melakukan pembaziran makanan.

Dalam mengejar pahala adalah amat penting rakyat tidak mensia-siakannya dengan pembaziran makanan yang mana sisa makanan menjadi penyumbang terbesar pada bulan Ramadan terutama ketika berbuka puasa.

Titah baginda, sisa makanan menjadi penyumbang terbesar pada bulan Ramadan terutamanya ketika berbuka. Situasi ini bertentangan dengan hakikat Ramadan menjadi bulan yang mendidik umat supaya bersederhana dan tidak membazir.

“Apatah lagi terdapat larangan keras terhadap perbuatan boros dan membazir seperti firman Allah Subhanahu wa Taala menerusi ayat 27 Surah al-Isra’ bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya,” titah baginda.

Pembaziran dapat dielakkan jika kita lebih berhemah, tidak boros berbelanja dan tidak terlalu mengikut nafsu makan. Pembaziran berlaku apabila nafsu mata dan hidung ketika di bazar Ramadan mengatasi nafsu mulut dan perut ketika berbuka.

Malangnya ramai juga yang mungkin ‘tewas’ di bazar Ramadan apabila membeli pelbagai makanan dan minuman sehingga tidak cukup jari untuk membawanya. Sepuluh jari akan ada bungkusan makanan dan minuman.

Belajarlah berbelanja secara berhemah. Membeli atau memasak sekadar memenuhi keperluan. Sepanjang Ramadan, selepas tidak makan siang, adakah pengambilan makanan kita berkurangan atau sebaliknya? Setiap orang ada jawa­pannya.

Alangkah baiknya­ peruntukan be­sar yang membawa kepada pembaziran ketika berbuka itu disalurkan bagi membantu mereka yang tidak sempat membeli juadah berbuka, contohnya di jalan raya yang sibuk, stesen LRT, komuter, bas atau pusat membeli belah.

Lebih baik pembaziran beralih kepada sedekah sesuai dengan hadis riwayat Tirmidzi : “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.”

Related posts

Leave a Comment