Semoga Ramadhan ini lebih bermakna

SINGAPURA 24 Mac – Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam dan berharap Ramadan kali ini lebih bermakna kerana dapat meraikannya seperti sebelum pandemik Covid-19.

Beliau berkata dengan tiadanya sekatan Covid-19, setelah tiga tahun, umat Islam bukan sahaja dapat solat Tarawih di masjid tanpa tempahan tetapi juga boleh berkunjung ke bazar-bazar Ramadan.

“Aktiviti seperti solat Tarawih boleh dilakukan semula tanpa tempahan di 57 masjid. Bagi 10 masjid yang popular tetapi mempunyai ruang terhad, sistem tempahan perlu diadakan supaya mempermudahkan pengurusan jemaah.

“Pada bulan yang mulia ini, saya juga ingin menggalakkan masyarakat bukan Islam untuk sertai rakan-rakan Muslim kita berbuka puasa bersama-sama jika boleh,” katanya melalui hantaran di Facebooknya semalam.

Beliau turut menghargai persefahaman kumpulan qariah dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berkaitan penganjuran solat Tarawih di kolong-kolong flat.

“Terima kasih kepada kumpulan-kumpulan qaryah, serta seluruh masyarakat Islam Singapura kerana bekerjasama dengan pihak berkuasa demi menyambut Ramadan kali ini dengan penuh bermakna,” katanya.

(Foto FB PM LHL)

Related posts

Leave a Comment