24 negara dilanda wabak taun

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 24 negara kini mencatatkan kes taun terutama di Afrika termasuk di Tanzania, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Zambia.

Agensi kesihatan antarabangsa itu, dalam satu kenyataan, WHO meningkatkan tahap amaran selepas wabak taun di seluruh dunia bertambah buruk.

Menurut WHO, puting beliung tropika Freddy yang melanda Madagascar, Malawi dan Mozambique di Afrika Timur pada Februari lalu turut memburukkan lagi penularan wabak taun.

Bencana alam taraf taufan kategori empat itu menyebabkan hujan lebat, banjir dan kerosakan pada sistem air termasuk pembetung, mendorong penyebaran wabak taun.

Malawi dan Mozambique adalah antara negara yang sememangnya terjejas akibat wabak taun, yang menyebabkan lebih 68,000 kes merentasi 12 negara di selatan dan timur Afrika pada tahun ini saja, menurut agensi kemanusiaan.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula melaporkan di Di Malawi, taun meragut lebih 1,600 nyawa dan di Mozambique jutaan kanak-kanak serta keluarga mereka kini terdedah kepada wabak itu

Banjir akibat puting beliung meningkat risiko jangkitan taun terhadap kanak-kanak dan keluarga mereka di negara yang sememangnya kekurangan air, kebersihan, kesihatan dan sistem pembetungan.

“Di Mozambique saja, kes taun meningkat hampir empat kali ganda kepada 11, 000 kes sejak Februari lalu,” katanya.

Secara keseluruhan, lebih 36,000 orang dijangkiti wabak itu dan 1,700 lagi terkorban sejak peningkatan kes berlaku di seluruh dunia pada tahun lalu, tambah WHO.

Kebanyakan negara yang melaporkan wabak itu juga menyaksikan kadar kematian lebih tinggi dalam kalangan mereka menghidap penyakit cirit-birit teruk disebabkan oleh jangkitan bakteria Vibrio cholerae pada usus.

Kira-kira satu dalam setiap 10 orang yang menghidap taun akan mengalami gejala yang teruk, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Walaupun jangkitan kadang-kadang boleh menjadi teruk atau mengancam nyawa, ia biasanya lebih ringan atau berlaku tanpa gejala.

Related posts

Leave a Comment