Tiada lagi hukuman penjara sepanjang hayat

KUALA LUMPUR 23 Mac –  Tiada lagi hukuman penjara sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Katanya itu antara beberapa dasar baharu yang dipersetujui Kabinet pada mesyuarat Jumaat lalu dalam usaha pemansuhan hukuman mati mandatori.

Azalina berkata ia akan digantikan dengan hukuman alternatif baharu iaitu penjara bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

“Selain itu, hukuman penjara sepanjang hayat sebagai satu hukuman dimansuhkan sepenuhnya dalam semua undang-undang; hukuman mati dimansuhkan bagi kesalahan tidak menyebabkan kematian, melainkan tiga kesalahan iaitu Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi membolehkan hukuman mati atau hukuman penjara sepanjang hayat yang sudah dikenakan, disemak semula oleh Mahkamah Persekutuan.

Cadangan RUU ini dijangka akan memberi kesan kepada 957 orang banduan hukuman mati dan banduan sepanjang hayat yang sudah menghabiskan proses rayuan di mahkamah sebelum ini,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Azalina berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Koh Nai Kwong mengenai status terkini kajian semula cadangan melaksanakan hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori bagi pelbagai kesalahan.

Pada masa sama berkata, beliau berkata, dasar kerajaan Madani ketika ini ialah untuk mengubah hukuman dan bukannya menghapuskan hukuman mati berkenaan, dengan kuasa budi bicara diberikan kepada hakim.

Katanya, bacaan kali pertama bagi RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 akan dilakukan pada Isnin ini.

“RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dijangka memberi kesan kepada 476 orang banduan hukuman mati yang belum menghabiskan proses rayuan, sama ada di Mahkamah Rayuan ataupun Mahkamah Persekutuan.

“Hal ini disebabkan hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori akan bersifat ke belakang,” katanya.

Azalina berkata, pindaan perundangan membabitkan polisi penghukuman dan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori ini adalah perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah di Malaysia supaya lebih holistik dan inklusif.

Selain itu ia tidak menafikan hak asasi individu untuk mendapat keadilan sewajarnya.

Related posts

Leave a Comment