Bantuan haji cecah RM500 juta pada 2024

KUALA LUMPUR 23 Mac – Jumlah bantuan kewangan haji akan meningkat kepada hampir RM500 juta pada 2024 jika bayaran bagi ibadat itu tidak disemak sekali gus  memberi kesan kepada aspek agihan keuntungan berpatutan kepada pendeposit Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Nai’im Mokhtar berkata, TH menjangka jumlah bantuan kewangan haji akan meningkat dari RM185 juta pada 2022 kepada RM400 juta pada 2023.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) yang meminta Perdana Menteri menyatakan asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20.

Sebelum ini, TH meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar, walaupun kos ibadat itu naik kepada RM30,850, berbanding RM28,632 tahun lalu.

Mohd Na’im berkata, walaupun boleh menerima Bantuan Kewangan Haji, bakal haji kumpulan B40 dan M40 diberi peluang secara sukarela membayar lebih daripada kadar ditetapkan, meskipun mungkin tidak dapat membayar sepenuhnya kos haji.

Beliau berkata, bagi musim haji 1444 Hijrah, kos haji adalah RM30,850 untuk setiap jemaah muassasah Malaysia iaitu peningkatan lapan peratus berbanding RM28,632 pada tahun lalu.

Katanya, sejak 2001 hingga 2022, sebanyak RM2.2 bilion dibelanjakan bagi Bantuan Kewangan Haji.

“TH sentiasa bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan pangkalan data sedia ada berkaitan pendapatan mereka.

“Kadar bayaran haji yang bersasar adalah mengambil kira tahap kewangan individu bakal haji dan bukan pendapatan isi rumahnya,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai cadangan mewujudkan tabung wakaf haji bagi memberi bantuan kewangan sama rata kepada jemaah, Mohd Na’im berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan dengan menilai keberkesanannya pada masa depan.

“TH akan mengambil kira cadangan itu dengan melakukan kajian mengenainya terlebih dulu bagi memberi bantuan kewangan kepada bakal jemaah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment