KUALA LUMPUR 23 Mac – UMNO yang selesai mengadakan pemilihan parti pada 18 Mac lalu akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan Malaysia dan komited untuk memastikan keutuhan kerjasama dalam kerajaan ini demi kestabilan negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat pertama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hari ini UMNO turut menzahirkan kebimbangan sentimen permainan kaum dan agama yang terus menular.
Justeru parti Melayu terbesar itu menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi membendung fenomena yang boleh merosakkan keharmonian negara.
UMNO melalui kenyataan itu juga beriltizam untuk membantu kerajaan melalui wakil-wakil parti dalam Kerajaan bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Di samping itu MKT juga mengambil maklum perjalanan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang telah menubuhkan Majlis Perundingan Pimpinan dan Jawatankuasa-jawatankuasa yang dianggotai wakil-wakil kesemua parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi ini berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn yang turut menyaksikan anggota MKT mengangkat sumpah jawatan.
Sementara itu, Ahmad Zahid pada sidang media selepas mesyuarat MKT memaklumkan konvensyen melibatkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada 14 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini.
Katanya, konvensyen yang akan disertai oleh 20 parti dalam Kerajaan Perpaduan itu adalah untuk memperlihatkan perpaduan dalam kalangan parti gabungan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Sebanyak 20 parti di dalam Kerajaan Perpaduan ini dengan empat gabungan utama dalam parti akan berada pada satu tempat dan pada waktu yang sama.
“Ia bagi kita kita memperlihatkan solidariti dalam kalangan parti gabungan dan yang paling penting dukungan daripada UMNO cukup padu,” katanya.
Ahad lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilapor berkata satu konvensyen bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan bagi memastikan gerak langkah dan hala tuju yang seiring dalam memimpin negara.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata konvensyen itu juga antara lain bertujuan untuk menentukan pemikiran dan dasar yang sama dalam parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Mengenai rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Ahmad Zahid berkata perkara itu belum dibincangkan secara rasmi dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ketua Sekretariat untuk Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan akan memperincikan butiran yang akan dibincangkan,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).
