Rahim Thamby Chik sedia tanding PRU

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Veteran politik yang pernah bersama UMNO, Abdul Rahim Thamby Chik memberi bayangan akan membuat kemunculan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya mendapat restu pucuk pimpinan Bersatu.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata : “ Saya akan bertanding di (Parlimen) Hang Tuah Jaya, mungkin…kalau jadilah,”.

Bercakap kepada Astro AWANI, beliau yang sudah beberapa penggal tidak bertanding tetap yakin dengan peluangnya kerana masih ramai rakyat mengingati jasa beliau terutamanya ketika mentransformasi ekonomi Melaka.

Mengenai peluang UMNO, walaupun parti itu kelihatan bersedia untuk berhadapan PRU15, Abdul Rahim meramalkan parti itu tidak akan menang lebih daripada 50 kerusi.

Katanya, sebagai orang lama dalam politik, beliau berpendapat UMNO ibarat sebuah rumah besar namun sudah buruk, berlubang, dipenuhi anai-anai dan sukar untuk dibaiki.

Tambah beliau, faktor lain seperti masalah dalaman parti dan kes mahkamah melibatkan pemimpinnya membuatkan UMNO tidak akan menang begitu banyak kerusi dalam PRU15.

Dengan masalah dalaman, perpecahan dan rahsia bagaimana pemimpinnya menipu rakyat yang didedahkan secara undang-undang dan dalam mahkamah, orang dah muak.

“Pada perhitungan saya, selepas mendengar pandangan daripada sahabat, bacaan-bacaan… ‘mindset’ orang kampung berubah. Bila ada media sekarang menghuraikan bagaimana kelakuan, perangai, watak pemimpin UMNO, saya rasa kali ini mereka (rakyat) akan berhijrah.

“Dulu berhijrah daripada UMNO kepada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), sekarang daripada kerajaan UMNO kepada kerajaan Bersatu,” katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas kerjasama Bersatu dan parti lain, Abdul Rahim berkata kerjasama politik seharusnya dimeterai sebelum pilihan raya namun dakwanya, parti yang berbincang dengan Bersatu hanya ‘sibuk’ dengan jawatan.

Tegasnya, perbincangan yang hanya berkisar kepada jawatan itu membuatkan kerjasama yang ingin dijalinkan sebelum pilihan raya gagal.

Begitupun, beliau tetap optimis Bersatu mampu mencatat keputusan yang baik dalam PRU15.

“Saya yakin kalau Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu go alone (bergerak sendiri), kita boleh ambil risiko ini sebab kita tidak terhutang sangat kepada suasana yang mengecewakan rakyat,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment