Pentomen imbau tragedi Kampung Tanduo

KUALA LUMPUR 20 Mac – Buat kali pertama dalam sejarah, Yang di-Pertuan Agong berangkat mencemar duli ke Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), pagi ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani; Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ruji Ubi dan Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.

Sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 turut mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Deputi Superintendan Mohd Zulfadhi Zulkifli mengetuai 102 anggota kawalan kehormatan dari Pasukan Simpanan Persekutuan Polis Diraja Malaysia pada istiadat perbarisan, manakala seramai 543 pegawai kanan dan pegawai rendah pelbagai jabatan polis dalam kumpulan.

Antara yang terbabit adalah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

Istiadat turut membabitkan lintas hormat tiga buah helikopter di ruang udara membawa bendera Jalur Gemilang dan Sang Saka Biru, pancaragam, persembahan pentomin peringatan 10 tahun insiden pencerobohan Kampung Tanduo, Lahad Datu, deklamasi sajak dan lafaz ikrar setia.

Sementara itu suasana sedih menyelubungi istiadat itu apabila tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu yang berlaku hampir sedekad lalu, dipersembahkan semula dalam bentuk persembahan pantomim oleh sekumpulan anggota polis.

Tiga anak Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat iaitu Muhammad Noorakmal Amiruddin, 15, Noor Muhammad Aqil, 11, dan Noor Aqib Syahid, 10 tahun yang turut membuat kemunculan dalam persembahan itu.

Turut bersama adalah anak kepada Sarjan Sabarudin Daud, Haziq Wahiduzzaman, 28, dan Hareq Zafri, 21 tahun.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah turut kelihatan sebak.

Lebih 80 anggota polis, yang kebanyakannya terbabit dalam tragedi itu pada 2013 mengambil bahagian dalam persembahan yang menceritakan tragedi sebenar pengusiran kumpulan yang mendakwa pewaris Kumpulan Sulu dari selatan Filipina.

Pada 1 Mac 2013, dua anggota polis, Zulkifli dan Sabarudin terkorban manakala 12 anggota kumpulan penceroboh terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan itu dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo.

Keesokan harinya, enam anggota polis terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna.

Selain Zulkifli dan Sabarudin, turut terkorban dalam tragedi berdarah itu adalah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Asisten Superintendan Michael Padel, Sarjan Abdul Azis Sarikon, Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, Sarjan Detektif Baharin Hamit, Koperal Salam Tugiran dan Prebet Ahmad Hurairah Ismail.

Related posts

Leave a Comment