Banjir di Batu Pahat semakin pulih

JOHOR BAHRU 20 Mac –  Banjir di Batu Pahat semakin pulih dengan bilangan mangsa turun kepada 10,396 orang daripada 2,977 keluarga, setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 13,872 orang (3,985 keluarga) malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Johor, Dr Azmi Rohani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata mangsa banjir berkenaan ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, lapan PPS sudah ditutup dalam tempoh itu, termasuk di Sekolah Agama (SA) Seri Bulan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Masjid Jamek Simpang Tiga Parit Sulong, dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Parit Yaani.

Dalam kenyataannya, beliau memaklumkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan lebat di semua daerah sebaliknya berdasarkan laporan cuaca sebenar, semua daerah dilaporkan cerah.

Sementara itu menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air tiga lembangan sungai di Batu Pahat masih berada pada tahap amaran.

Lembangan sungai terbabit ialah Empangan Bekok yang juga sublembangan Sungai Bekok dengan bacaan 19.20 meter (m), Empangan Sembrong (Sungai Sembrong) 12m dan Sungai Senggarang di Senggarang mencatat 3.50m.

Lima jalan di Batu Pahat pula masih ditutup untuk laluan kecuali kenderaan berat saja, akibat banjir.

Ia membabitkan Jambatan Sri Dayung di Jalan Parit Haji Arif atau Sri Dayung; Jambatan Parit Jambi di Jalan Parit Jambi; Klinik Kesihatan Sri Medan di Jalan Haji Arif; sepanjang Jalan Parit Warijo dan Kampung Sri Bengkal, Jalan Sri Bengkal.

Related posts

Leave a Comment