Perjanjian sempadan maritim dirujuk pakar

KUALA LUMPUR 13 Jun – Perdana Menteri  Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia yang ditandatanganinya baru-baru ini, tidak mendapat pandangan pakar-pakar berkaitan termasuk maritim.

Beliau  berkata, perjanjian dimeterai selepas merujuk kepada pakar maritim, Jabatan Maritim, Kementerian Luar, Pejabat Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Ukur dan Pemetaan dan Pusat Hidrografi Nasional Malaysia,

Malahan kata Anwar, beliau terus berhadapan dengan pakar-pakar berkenaan sebelum memeterai perjanjian dengan Presiden Indonesia, Jokowi hasil kerjasama Menteri Luar dan Kementerian Luar yang banyak menjalankan tugas dalam hal ini.

Justeru Anwar menegaskan perjanjian penyelesaian sempadan yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia tidak akan sesekali mengorbankan kepentingan kedaulatan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar turut mempersoalkan sumber maklumat Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menimbulkan dakwaan berkenaan malahan menyifatkan pandangan sembrono.

“Apa soalan Kota Bharu (Takiyuddin)? Ramai berpandangan… pakar maritim… Siapa? Pandangan pakar mana yang dibicarakan? Kemudian, telah melanggar (peraturan) yang mana?

Peraturan mana? Peruntukan mana? Dia (seorang) peguam (tetapi) bincang samar-samar benda ini, Tak payah (jadi) peguam, ketua kampung pun boleh. Peguam harus spesifik. Nak marah apa, jawablah,” katanya menjawab soalan tambahan Takiyuddin pada Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Perdana Menteri, supaya memberi penjelasan berhubung perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia yang ditandatanganinya.

Muhyiddin mendakwa Perdana Menteri tetap menandatangani perjanjian itu walaupun pakar maritim menasihatkan supaya tidak berbuat demikian.

Persempadanan Laut Selat Melaka dan Perjanjian Persempadanan Sulawesi merupakan dua daripada enam instrumen dua hala Malaysia Indonesia dimeterai Khamis lalu sempena lawatan kerja Joko Widodo ke negara ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata perjanjian berkenaan tidak melanggar peraturan asal sempadan ‘one to one’, dan telah dipersetujui oleh semua pakar.

“… yang tidak dipersetujui yang kita ambil berat sikit ialah perairan Tanjung Pelepas (Johor), itu tidak terlibat. Kedua, soal betul-betul masalah persempadan dengan Sabah, yang kita tidak bersetuju,” tambah Anwar.

Selain itu mengenai Perjanjian Singapura-Indonesia 2009, Anwar berkata kerajaan telah menyatakan pendirian kepada Jokowi, bahawa Malaysia membantah perkara itu kerana ia menjejaskan kepentingan negara.

“Jadi penjelasan saya kepada empat soalan (Takiyuddin), ia hanya digunakan untuk ruang politik murah. Pakar mana? Perjanjian mana yang dilanggar? Peruntukan mana yang dilanggar? dan kawasan mana yang diserahkan kepada Indonesia?,” soal Anwar lagi.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata kerajaan telah memaklumkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa perjanjian persempadan tersebut terletak tiga batu nautika dari perbatasan Johor.

“Bagi Sabah pula, Sabah tidak dimeterai dalam hal ini. Ketua Menteri Sabah dimaklumkan bahawa memuktamadkan Pulau Sebatik dan kawasan yang melibatkan Tawau dan Sabah itu, ditangguhkan sehingga ada persetujuan baharu kerana kita belum bersetuju,” katanya.

Related posts

Leave a Comment