4 bahagian tidak terlibat pemilihan UMNO

KUALA LUMPUR 19 Mac –  Sebanyak 187 bahagian terbabit dalam pemilihan kali ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 183 bahagian telah menghantar keputusan pemilihan yang berlangsung semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Shahrir Samad berkata, setakat 2.30 petang, empat bahagian masih dinanti keputusannya.

Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata, empat bahagian UMNO tidak terbabit dalam pemilihan UMNO kali ini selepas bahagian berkenaan digantung dan ditangguhkan proses pemilihannya disebabkan beberapa masalah dihadapi.

Empat bahagian itu adalah Tanah Merah, Kota Kinabalu yang digantung, serta UMNO Bahagian Johor Bahru dan Beluran, yang ditangguh.

“Dukacita saya mahu cakapkan, Johor Bharu maknanya secara rasmi saya masih lagi Ketua UMNO Bahagian. Patutnya saya sudah tak jadi, tapi ada sedikit masalah teknikal yang perlu diatasi, kadang-kadang ia boleh menjejaskan soal kesahihan, keabsahan keputusan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan jika ada semula pemilihan, empat bahagian berkenaan sudah tak terlibat dengan pemilihan di peringkat kebangsaan.

Menurut Shahrir, walaupun empat bahagian belum menghantar keputusan, JPU berpendapat empat keputusan bahagian ini tidak akan mengubah kedudukan keputusan yang sudah dicapai bagi jawatan utama.

Jawatan itu termasuk Pengerusi Tetap UMNO yang dimenangi Tan Sri Badrudin Amiruldin dengan 174 undi dan jawatan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO yang dimenangi oleh Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah.

Begitulah juga dengan jawatan Naib-naib Presiden.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan bagi empat calon terakhir bagi 25 anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Daripada 25 jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pula, kita hanya dapat menunjukkan kedudukan pertama sampai 20 mungkin tak berubah. Jika berubah pun empat terbawah, kemungkinan akan terpengaruh dari empat keputusan yang belum dimasukkan ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment