Anwar yakin Kerajaan Perpaduan kukuh

SHAH ALAM 18 Mac – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim optimis Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan terus kukuh dan bertahan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, keyakinannya bersandarkan sokongan kukuh parti yang bersama membentuk Kerajaan Perpaduan sejak empat bulan lalu.

“Untuk kita mantap sebagai satu kerajaan lima tahun ini, kita perlu kerjasama padu supaya kita tumpu membetulkan kerosakan yang berlaku dan membangunkan negara dan rakyat.

Usaha untuk menggugat sedikit sebanyak itu ada tetapi saya yakin Kerajaan Perpaduan akan terus kukuh dan kekal untuk lima tahun.

“Tanggungjawab kita bersama ialah menempatkan semangat perjuangan, menggilap obor reformasi dan jentera parti harus bergerak supaya agenda madani ini dapat diterjemahkan secara lebih serius dan bermakna,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres Khas PKR di Stadium Malawati hari ini bertemakan Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme.

Hadir sama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah),  Dr Mujahid Yusof. Tiada wakil Barisan Nasional (BN) hadir.

Ia turut dihadiri 41 perwakilan asing sebagai pemerhati.

Sementara itu, Anwar tidak gentar dengan ugutan sesetengah pihak untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya ketika ini, malah ‘mempersilakan’ tindakan sedemikian.

Beliau berkata walaupun menerima pelbagai desakan, tekanan dan ugutan, beliau menegaskan tidak gentar bahkan bersedia untuk menghadapi sebarang serangan yang direncana untuk menjatuhkannya.

Justeru, beliau mengambil kesempatan melalui Kongres Khas PKR pada hari ini untuk ‘melepaskan’ apa yang tersemat dalam hatinya selepas ‘terpaksa’ bersabar dengan serangan selama empat bulan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Ini gelanggang saya (kongres) Parti Keadilan Rakyat. Empat bulan saya bersabar. saya bicara secara teratur dan bicara sebagai seorang Perdana Menteri.

“Hari ini, saya bicara sebagai seorang Presiden Keadilan (PKR), gerakan reformasi. Saudara mahu ugut kita dengan perhimpunan, mahu ugut (supaya) kita takut bertindak kepada orang perasuah sebab salah pilih seorang Perdana Menteri.

“Saya tak makan ugutan itu. Ada kuasa kita laksanakan. (Kalau) kamu cuba nak rampas (pentadbiran kerajaan) silakan tetapi tidak mudah.

Kita siap dengan keris…membujur lalu melintang patah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment