Bersedia hadapi 1,000 kes

SINGAPURA 18 Sept. – Singapura harus bersiap sedia menyaksikan jumlah kes harian Covid-19 mencecah 1,000 kes tidak lama lagi berikutan kes harian yang meningkat sekali ganda setiap minggu, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

“Ini hari ke-26 gelombang jangkitan semasa. Kes harian, seperti dijangka meningkat seganda setiap minggu dari 100 kepada 200, menjadi 400, dari 400 sehingga 800, dan sekarang dalam kitaran penggandaan keempat,” katanya semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Berbilang  Kementerian (MTF) Lawrence Wong juga mengingatkan dalam masa beberapa minggu akan datang, Singapura menjangkakan  kes Covid-19 akan mencapai 1,000 hingga 2,000 sehari,

Menurut Ong, situasi yang ada bukan di luar jangkaan sebaliknya situasi biasa gelombang jangkitan yang biasanya memuncak dalam tempoh antara empat hingga lapan minggu, atau dalam tempoh 30, 40 kadang-kadang sehingga 50 hari.

Katanya, gelombang jangkitan Covid-19 ini “berbeza” daripada yang dialami oleh negara-negara lain.

Ketika negara-negara lain menghadapi gelombang penularan seperti itu pada awal pandemik, mengakibatkan banyak korban jiwa tetapi Singapura melaluinya hanya setelah lengkap memvaksin sekitar 80 peratus penduduk.

Justeru, Singapura akan terus memantau jumlah pesakit yang sakit teruk atau meninggal dunia akibat jangkitan koronavirus ini.

Purata jumlah kes Covid-19 di Singapura melonjak dari 146 kes setiap hari dua minggu lalu kepada 682 kes sehari pada minggu lalu, menurut kenyataan media berasingan oleh Kementerian Kesihatan (MoH).

Bagaimanapun, jumlah kes serius masih kekal rendah buat masa ini, tambah kementerian tersebut.

Related posts

Leave a Comment