Rozabil ganti Shahidan di Arau

KANGAR 18 Mac – UMNO bahagian Arau yang hampir 30 tahun didominasi  Shahidan Kassim kini beralih kepada bekas Naib Ketua Bahagian (2013- 2018),  Rozabil Abd Rahman.

Rozabil atau dikenali sebagai Tok Ben yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menang jawatan berkenaan tanpa bertanding pada Pemilihan UMNO kali ini.

Shahidan pada PRU lalu digugurkan daripada mewakili Barisan Nasional (BN) dan berikutan itu bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di Arau dan menang yang akhirnya membawa kepada pemecatan beliau.

Tok Ben, ketika ditemui berhasrat membawa perubahan terhadap kepemimpinan parti itu pada peringkat bahagian berkenaan khususnya dalam aspek pelaksanaan program dengan pendekatan terkini.

Katanya, beliau ada cara tersendiri dalam memimpin UMNO Arau tanpa dibayangi kepemimpinan masa lalu.

Beliau berkata, cabaran yang perlu dihadapinya selepas ini adalah mengisi jawatan ini dengan sebaiknya selepas kejayaan menang tanpa bertanding.

Menurut Rozabil, berdasarkan perjalanan persidangan dan pemilihan bahagian berkenaan, sambutan diterima daripada ahli UMNO bahagian itu adalah amat baik malah setiap pihak turut memberi komitmen bagi membantu kebangkitan parti itu.

“Ramai ahli dan perwakilan yang sebelum ini kurang aktif atau membuat keputusan untuk mengundur diri di bawah kepemimpinan lalu, kini kembali membuat kemunculan semula untuk bergiat aktif bersama parti, ” katanya.

Mengenai agendanya selepas ini, Rozabil berkata, ia termasuk penambahan ahli baharu UMNO serta mendekati golongan pengundi di kawasan berkenaan.

Pada pemilihan kali ini, UMNO Bahagian Arau menyaksikan empat jawatan teratas iaitu Ketua Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri dimenangi tanpa bertanding.

Jawatan Ketua Pemuda Bahagian dimenangi oleh Abdul Azim Abdullah manakala

bekas Exco Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri Perlis, Rozieana Ahmad memenangi jawatan Ketua Wanita.

Beliau menggantikan penyandang jawatan itu sebelum ini, Shamsiah Yasin yang juga isteri Shahidan.

Related posts

Leave a Comment