KUALA LUMPUR 16 Mac – Hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya, boleh dikenakan terhadap mereka yang sabit kesalahan menghendap.
Peruntukan itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan RUU itu bersama RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023.
RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 bertujuan memasukkan seksyen baharu 507A ke dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk mewujudkan peruntukan bagi kesalahan menghendap.
Ia menyebut sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, mengetahui atau sepatutnya mengetahui perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.
Sementara itu,RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 bertujuan meminda Jadual Pertama kepada Akta 593 berbangkit daripada kemasukan kesalahan baharu menghendap ke dalam Kanun Keseksaan.
Bacaan kedua bagi kedua-dua RUU berkenaan dijadual dibentang pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Azalina dalam satu kenyataan kemudiannya menegaskan, Kerajaan Perpaduan memandang serius dan terus komited mewujudkan undang-undang berhubung kesalahan menghendap.
Katanya, pasukan yang diketuai timbalannya telah mengadakan beberapa sesi bersama-sama dengan Women’s Aid Organisation (WAO), Majlis Peguam dan Jabatan Peguam Negara (Bahagian Gubalan dan Bahagian Pendakwaan).
Beliau berkata, sesi berkenaan untuk menyemak dan meneliti semula mengenai undang-undang menghendap secara menyeluruh.
“Daripada hasil semua perbincangan berkenaan, kerajaan pada 24 Februari lalu telah bersetuju bahawa perkara-perkara dasar berhubung kesalahan anti menghendap yang telah ditetapkan sebelum ini dikekalkan dengan penambahbaikan.
“Penambahbaikan yang dilakukan adalah di mana perbuatan menjejaki seseorang itu melalui apa jua cara boleh menjadi kesalahan menghendap,” katanya.
Beliau menjelaskan, penambahbaikan itu khusus bagi menangani kes-kes di mana seseorang dijejaki tanpa elemen secara fizikal oleh mana-mana orang dengan menggunakan apa-apa peralatan atau apa-apa kaedah lain.
“Contohnya kamera tersembunyi atau GPS tracker bagi tujuan menghendap dan si pelaku juga tidak berada berdekatan dengan mangsa ketika melakukan perbuatan terbabit.
“Cadangan undang-undang menghendap ini melibatkan pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593),” katanya.
