Pecat AJK masjid, surau undang penceramah tanpa tauliah

ISKANDAR PUTERI 16 Mac –  Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di negeri ini akan dipecat, jika membenarkan penceramah tanpa tauliah memberikan ceramah di Johor.

Titah baginda, semua ahli jawatankuasa masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama wajib mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melalui Pejabat Kadi Daerah.

Baginda juga mengingatkan mana-mana penceramah yang hendak menyampaikan ceramah di negeri ini perlu memiliki tauliah daripada MAINJ.

Bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, baginda menegaskan penceramah perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan.

“Sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua ahli jawatankuasa masjid dan surau itu akan diambil tindakan dan dipecat.

“Tindakan ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam tetapi adalah untuk kawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, keadaan itu juga untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.

Titah baginda, kerajaan harus meningkatkan mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan,” titahnya.

Pada 8 Mac lalu, MAINJ mengingatkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah di negeri ini.

Tindakan undang-undang juga dilaporkan akan diambil terhadap penganjur acara atau program berkenaan yang dianggap sebagai bersubahat.

Mana-mana penganjur kepada acara mengajar dan memberi syarahan agama Islam menggunakan penceramah yang tidak bertauliah dari MAINJ adalah melakukan satu kesalahan penyubahatan di bawah Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Mereka yang diambil tindakan atas kesalahan itu boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

(Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Related posts

Leave a Comment