ISLAMABAD – Delegasi Iran diketuai Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, tiba di ibu negara Pakistan, Islamabad, pada Jumaat bagi membincangkan cadangan untuk menyambung semula rundingan damai dengan Amerika Syarikat (AS).
Pakistan mengesahkan ketibaan delegasi Iran sambil berkata, Araqchi akan bertemu pegawai kanan Pakistan bagi membincangkan usaha damai berkenaan.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt pula memaklumkan, Utusan Khas Presiden Donald Trump iaitu Steve Witkoff dan Jared Kushner akan bertolak ke Pakistan pada pagi Sabtu untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Iran itu
Sementara itu, Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, membincangkan perkembangan perjanjian gencatan senjata antara Washington dan Tehran dalam perbualan telefon dengan Presiden AS, Donald Trump pada lewat Jumaat.
Pemimpin Qatar itu berkata, negaranya akan terus menyelaraskan usaha bersama rakan-rakan bagi menyokong inisiatif pengantaraan yang diketuai Pakistan.
Islamabad sebelum ini dirancang sebagai lokasi rundingan AS-Iran yang gagal dilaksanakan pada awal minggu ini.
Leavitt dalam nada optimis berkata, AS melihat beberapa perkembangan positif daripada pihak Iran sejak beberapa hari lalu dan berharap kemajuan lanjut dapat dicapai hujung minggu ini.
Beliau turut memaklumkan, Naib Presiden AS, JD Vance yang mengetuai pusingan pertama rundingan dengan Iran awal bulan ini namun tidak berjaya, bersedia untuk ke Pakistan bagi menyertai rundingan sekiranya usaha itu menunjukkan hasil.
Araqchi menerusi hantaran di platform X berkata, kunjungannya ke Pakistan, Oman dan Russia bertujuan menyelaras hal ehwal dua hala serta mengadakan perundingan mengenai perkembangan serantau, sambil menegaskan negara jiran kekal sebagai keutamaan Tehran.
