Malaysia di tangga ke-10 sasaran e-mel hasad

KUALA LUMPUR 16 Mac – Data Kaspersky, syarikat keselamatan siber dan privasi digital global menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ke-10 dalam kalangan 20 negara teratas sasaran e-mel hasad atau berniat jahat pada 2022.

Laporan Spam dan Pancing Data Kapersky 2022 menunjukkan Malaysia mencatat 2.98 peratus daripada kesemua lampiran e-mel hasad di peringkat global, meningkat daripada 2.62 peratus pada tahun sebelumnya.

Dalam kalangan negara serantau, Vietnam berada pada kedudukan keenam dengan 4.43 peratus daripada hantaran mel hasad yang dikesan, manakala Indonesia di tempat ke-15 dengan 1.85 peratus.

Menurut Kaspersky, sejumlah 48.63 peratus daripada e-mel di serata dunia adalah ‘spam’ dengan perisian antivirus menyekat 166 juta lampiran e-mel berniat jahat, manakala 507 juta cubaan memancing data dapat digagalkan.

Terma ‘spam’ bermaksud membanjiri rangkaian internet dengan pengulangan mesej yang sama dengan tujuan memaksa pengguna internet menerima mesej terbabit.

Dalam satu kenyataan syarikat itu, peningkatan sebanyak 18 juta lampiran e-mel berniat jahat direkodkan pada 2022 berbanding tahun sebelumnya dengan kejadian paling ketara dilaporkan pada Mac, Mei dan Jun.

Hantaran e-mel berniat jahat yang diterima oleh rakyat Malaysia wujud dalam penyamaran sebagai urusan perniagaan dan bagi menarik perhatian penerima membuka lampiran.

“Melalui cara ini, penjenayah siber akan cuba meyakinkan bahawa kandungannya adalah maklumat berkaitan perniagaan seperti tawaran komersial, invois atau salinan pemindahan bank.

“Dalam kebanyakan kes, dokumen yang dibuka itu akan turut memuat turun ‘Trojan’ atau virus,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kaspersky Asia Pasifik, Chris Connell berkata jenayah ‘scam’ atau penipuan yang menjanjikan pampasan dan bayaran daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat besar dan bank akan kekal popular dalam kalangan penjenayah siber pada 2023.

“Data daripada Kaspersky Secure Network (KSN) menunjukkan bahawa ancaman laman sesawang di Malaysia sejak lima tahun lalu berada dalam aliran menurun,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita perlu berasa selesa kerana penjenayah

siber sebaliknya menjadi lebih kreatif dalam memperdayakan mangsa.

Oleh itu, perlindungan terhadap peranti adalah sesuatu yang perlu dilakukan.

Related posts

Leave a Comment