5,566 angka tertinggi tahun ini

PUTRAJAYA 1 Feb. – Sebanyak 5,566 kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini, angka jangkitan tertinggi yang direkodkan untuk tahun ini.

Dengan perkembangan ini, sehingga kini terdapat 2,876,324 individu di negara ini sudah dijangkiti virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan berkata, sejumlah 5,339 adalah penularan tempatan dengan 237 kes mendapat jangkitan di luar negara.

Secara keseluruhannya, sejumlah 99.1 peratus atau 5,515 adalah kes dalam kategori satu dan dua, iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan, manakala 0.9 peratus bersamaan 51 kes adalah kategori tiga hingga lima, iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes aktif di negara ini, sehingga kini terdapat 113 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), membabitkan 90 kes disahkan Covid-19 serta 23 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan dalam ICU, sehingga kini terdapat sejumlah 59 kes, iaitu 40 disahkan Covid-19 serta 19 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Kementerian Kesihatan juga mengesan tujuh kluster baharu di negara ini yang menjadikan sehingga kini terdapat 318 kluster masih aktif.

Bagi kes sembuh pula, sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 3,187 kes pulih daripada jangkitan menjadikan sehingga kini terdapat 2,787,190 kes pulih sepenuhnya.

Related posts

Leave a Comment