KUALA LUMPUR 12 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya turut menyiasat punca dana politik diberikan kepada PKR dan UMNO seperti yang dikenakan ke atas Bersatu.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, agensi penguat kuasa itu tidak seharusnya menumpukan punca dana Bersatu sahaja kerana parti lain turut menerima dana politik daripada pihak tertentu.
“Saya nak cabar SPRM untuk siasat, siasat presiden PKR dan presiden UMNO. Siasat di mana punca dana yang diterima oleh UMNO dan PKR. Di manakah sumber (dana) yang mereka peroleh.
“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, Perdana Menteri juga daripada UMNO, adakah UMNO tidak menerima sumbangan politik. Begitu juga PKR di beberapa negeri.
Adakah parti ini tidak menerima sumbangan dana politik daripada mana-mana ahli perniagaan,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kelima Bersatu, hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut bertanya kepada SPRM mengenai laporan dibuat ahli parti yang menggesa siasatan lanjut dijalankan.
“Dah buat atau belum, atau yang disiasat hanya Bersatu sahaja. Bukankah ini pendakwaan terpilih. Sebelum pendakwaan juga, ramai termasuk media sudah tahu saya akan ditahan, seolah-olah mereka tahu saya akan didakwa. Apa maknanya ini dan adakah ia siasatan secara bebas,” katanya.
Muhyiddin mendakwa, beliau satu-satunya presiden parti yang didakwa di mahkamah disebabkan partinya menerima dana politik.
“Ini kali pertama seorang presiden parti didakwa di mahkamah kerana partinya menerima dana,” katanya.
Beliau menegaskan, sumbangan dana politik daripada ahli dan penyokong parti, termasuk ahli perniagaan, hartawan dan dermawan perlu untuk sesebuah parti politik menjalankan fungsi dalam negara demokrasi.
Katanya, dua hari lalu, beliau diheret ke mahkamah untuk enam pertuduhan kerana didakwa menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk menerima dana politik bagi Bersatu.
“Esok satu lagi pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Kesemua pertuduhan ini sebagai Presiden Bersatu bukan (kapasiti) peribadi,” katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sekiranya didapati bersalah, beliau akan dihukum lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda yang juga tidak akan mampu membayarnya.
Beliau turut mengulangi penjelasannya sebelum ini mengenai ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan parti, antara lain menetapkan setiap sumbangan kepada Bersatu mesti dimasukkan terus ke dalam akaun bank parti dan setiap aliran wang keluar serta masuk boleh disemak.
Muhyiddin juga mengulangi dakwaan bahawa pertuduhan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya adalah untuk melumpuhkan Bersatu sebelum pilihan raya negeri (PRN) dilangsungkan dalam beberapa bulan lagi.
Beliau turut menuduh gerakan pemangsaan politik secara terpilih dilakukan dengan rakus ke atas parti berkenaan, akaun parti dibekukan dan pemimpin direman serta didakwa, manakala pihak-pihak yang tiada kaitan dengan sumbangan dana politik kepada Bersatu disiasat.
