Waris mangsa pokok tumbang dapat FOT

SHAH ALAM 10 Mei – Waris keluarga Md Rizal Atan, 47, pemandu yang maut dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur 7 Mei lalu,  layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata semakan Skuad Perkeso Prihatin mengesahkan bahawa Md Rizal, adalah pencarum bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1 Januari 1995.

Susulan itu, balu Allahyarham iaitu Norpahidah Mat Zaman, bakal menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM3,400 sepanjang hayat.

Manakala empat anaknya masing-masing berumur antara 3 hingga 18 tahun diberikan manfaat FOT sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

“Sebagai pencarum, waris keluarganya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 secara sekali bayar oleh Perkeso menerusi Skim Bencana Pekerjaan bawah Akta 4,” katanya

Beliau berkata, kesedaran majikan melunaskan tanggungjawab mencarum pekerjanya telah meringankan beban keluarga bagi melalui episod hitam tersebut menerusi perlindungan jaringan keselamatan sosial Perkeso.

Dalam kejadian Selasa lalu, Md Rizal yang bekerja sebagai pemandu sejak 2018 meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya akibat terlibat dalam insiden pokok tumbang.

Terdahulu Steven dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menziarahi keluarga Allahyarham di Shah Alam.

Dalam catatan di Facebooknya, Steven berkata anak sulung Allahyarham, Ielfa, 19 memberitahu, sebelum ini ayahnya memberitahu akan menghantarnya untuk mendapatkan lesen memandu ketika cuti sekolah akan datang.

“Bila dah boleh memandu, bolehlah dia bantu ibunya. Sekarang ayahnya sudah tiada, Steven bantu tunai janji arwah untuk biaya segala kos Ielfa ambil lesen memandu. Adiknya, Irfan, 16 tahun pun akan ambil lesen moto hujung tahun. Saya tanggung sekali. Kos kesemuanya dalam lingkungan RM2000,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment