KUALA LUMPUR 12 Mac – Menteri Besar daripada Bersatu akan mentadbir Selangor dan Negeri Sembilan jika parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri, kata Presidennya, Muhyiddin Yassin.
Mengenai Pulau Pinang, Muhyiddin berkata, perkara itu akan diperhalusi dan diteliti bagaimana situasinya walaupun, mungkin ada pihak berkata sukar untuk menang tetapi tidak sukar untuk mengurangkan majoritinya.
“Yang lain-lain kita dah dengar sendiri tentang azam, tekad dan iltizam daripada ahli parti yang agak nyata dan jelas. Bersatu juga sudah bersedia untuk menghadapi apa juga cabaran daripada mana-mana pihak sekali pun,” katanya.
Ditanya mengenai kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Muhyiddin, berkata kerusi yang ada di pihak Pas dan Bersatu akan dikekalkan kecuali ada persefahaman untuk melakukan pertukaran.
Bercakap pada sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, di sini, hari ini, beliau berkata, bagi kerusi yang tidak dimiliki sesiapa kecuali oleh parti pembangkang, ia akan dirundingkan.
Mengenai permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), perkara itu hanya akan diputuskan oleh peringkat tertinggi pakatan politik berkenaan.
Pejuang sebelum ini memaklumkan sudah menghantar surat permohonan bagi menyertai PN sebagai anggotanya.
Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir berkata, surat berkenaan diutuskan kepada Muhyiddin manakala salinan turut diserahkan kepada Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau Hoe Chai.
