Hanya jawatan Naib Ketua Pemuda belum disahkan

KUALA LUMPUR 12 Mac – Secara tidak rasmi, jawatan utama bagi Wanita, Pemuda dan Puteri telah disahkan dimenangi calon yang bertanding manakala jawatan Naib Ketua Pemuda berlaku persaingan sengit.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Shahrir Samad mengesahkan sehingga 8 malam, Ibu Pejabat UMNO masih menunggu lebih kurang lapan bahagian menghantar jumlah pengundian.

“Jumlah dan keputusan pengundian telah dihantar bahagian-bahagian ke Ibu Pejabat UMNO. Kita dapat lihat keputusan tidak rasmi sehingga jam 8.00 malam ini.

“Pada peringkat ketua-ketua Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda mahupun Puteri sudah kelihatan jelas keputusannya meskipun tinggal tujuh atau lapan bahagian yang belum menghantar keputusan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn di sini.

Menurut Shahrir, tiada perubahan di peringkat dua jawatan tertinggi bagi Wanita UMNO manakala dua lagi sayap telah mendapat ketua dan naib ketua yang baharu.

Katanya, di peringkat Wanita UMNO, tiada perubahan dari segi kedudukan Ketua dan Naib Ketuanya apabila penyandang,  Dr Noraini Ahmad kekal bersama,  Norliza Abdul Rahim.

Bagaimanapun di peringkat Pergerakan Puteri UMNO berikutan kekosongan yang berlaku,  Nurul Amal Mohd Fauzi yang sebelum ini Naib Ketua berjaya dipilih sebagai ketua manakala Naib Ketua Puteri pula disandang oleh Siti Sokhleha Nordin.

“Untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh kekal di hadapan meninggalkan pencabarnya yang lain. Baki bahagian-bahagian yang belum menghantar keputusan tidak dapat mengubah kedudukan beliau.

“Hanya jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sahaja kelihatan ada persaingan agak sengit antara Mohd Hairi Md Shah dan pencabarnya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham dan masih belum dapat ditentukan kemenangan masing-masing.

“Saya akan sahkan secara rasmi apabila semua keputusan diterima,” katanya lagi.

Seramai 164,000 perwakilan telah menjalankan pengundian mereka bagi menentukan kedudukan calon-calon yang menawarkan diri bagi jawatan-jawatan dipertandingkan.
.
Sebanyak 189 daripada 191 bahagian telah mengadakan persidangan sayap di bahagian masing-masing semalam berikutan terdapat dua bahagian telah digantung iaitu UMNO Bahagian Tanah Merah dan UMNO Bahagian Kota Kinabalu.

(Mohd Hairi (kiri) dan Ikmal Hazlan)

Related posts

Leave a Comment