JOHOR BAHRU 12 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan kesediaannya disiasat terhadap apa juga pertuduhan termasuk berkaitan dana politik yang dibangkitkan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Kesediaan itu susulan cabaran Muhyiddin kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), supaya turut menyiasat punca dana politik yang diberikan kepada PKR dan UMNO.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut meminta Muhyiddin supaya menghadapi pertuduhan terhadapnya dengan hati yang terbuka.
“Saya sentiasa terbuka. Saya pernah disiasat dan pernah dibawa ke mahkamah. Saya besedia pada bila-bila masa.
Tetapi janganlah tepuk air didulang. Muka kita terpercik. Jangan juga ludah ke langit, pasti ludah akan ke muka sendiri.
“Jadi hadapilah apa-apa yang patut dihadapi kerana saya pernah menghadapinya. Saya ucapkan selamat berjaya kepada beliau (Muhyiddin),” katanya selepas majlis pengenalan calon Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Peringkat Johor, di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Muhyiddin ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu hari ini mencabar SPRM supaya turut menyiasat punca dana politik diberikan kepada PKR dan UMNO.
Beliau dilaporkan berkata, agensi penguat kuasa itu tidak seharusnya menumpukan punca dana Bersatu semata-mata kerana parti lain turut menerima dana politik daripada pihak tertentu.
“Saya nak cabar SPRM untuk siasat, siasat presiden PKR dan presiden UMNO. Siasat di mana punca dana yang diterima oleh UMNO dan PKR. Di manakah sumber (dana) yang mereka peroleh,” katanya.
Jumaat lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, atas enam pertuduhan, membabitkan empat kesalahan kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Esok satu lagi pertuduhan akan dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
