ALOR SETAR 12 Mac – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, menitahkan agar kerajaan negeri dan Persekutuan mengelak berpolitik secara berlebihan sebaliknya hendaklah sentiasa berusaha menjaga hubungan antara satu sama lain.
Baginda percaya pentingnya keharmonian hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan agar fokus terhadap penyelesaian isu dan permasalahan rakyat tidak terjejas.
“Negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik untuk memperoleh manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang,” titah baginda.
Justeru baginda berharap tahap profesionalisme tinggi antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat diteruskan serta perbincangan dalam menjayakan agenda pembangunan dapat digiatkan demi kebaikan bersama.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Turut berangkat Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.
Dalam pada itu, baginda bertitah Kerajaan Persekutuan wajar mempertimbang cadangan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi negeri Kedah dan wilayah utara.
Titah baginda, berdasarkan pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu, cadangan pembangunan projek berimpak tinggi negeri itu tidak diberi keutamaan.
Baginda berpandangan, projek KXP wajar diberi pertimbangan dalam usaha untuk merancakkan pembangunan ekonomi Kedah serta wilayah utara.
Titah baginda, perancangan untuk membangunkan projek KXP bermula sejak 2013 dan dalam tempoh itu sebanyak lima kajian kebolehlaksanaan dijalankan.
“Berdasarkan kajian-kajian berkenaan, pembangunan KXP bakal menjadi pengubah arus ekonomi kepada Kedah.
“Ia juga berfungsi sebagai pelengkap kepada lapangan terbang sedia ada di utara tanah air melalui penyediaan perkhidmatan kargo yang lebih komprehensif dan disokong pembangunan hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah, projek KXP yang dilaksanakan secara kaedah pembiayaan swasta (PFI) berperanan sebagai pemangkin kepada keseluruhan pembangunan Kedah Aerotropolis yang turut merangkumi komponen lain seperti Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing Hub, Business Park dan pembangunan Airport City.
Sementara itu, Sultan Sallehuddin bertitah, dalam menilai kadar inflasi yang saban tahun menunjukkan peningkatan, sebahagian kadar pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri perlu dikaji semula dan ditetapkan dengan satu kadar baharu yang lebih relevan mengikut situasi masa kini.
“Sebagai contoh kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang di bawah Fasal (1)(a) Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan yang kali terakhir dipinda adalah pada 20 tahun yang lalu melalui Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2002 [Akta 622].
“Oleh itu, kerajaan negeri hendaklah sentiasa peka dan proaktif dalam bertindak demi kepentingan negeri terutamanya yang melibatkan hak sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.
(Foto Warta Kedah)
