Berlaku ‘lonjakan’ kes di Singapura

SINGAPURA 13 Julai – Berbanding pada hari lain sebelum ini dengan catatan kes Covid-19 yang kecil atau tidak ada langsung, Singapura hari ini melaporkan ‘lonjakan’ apabila 19 kes jangkitan tempatan baharu direkodkan.

Jumlah kes tersebut adalah yang tertinggi dilaporkan sejak 17 Jun apabila 20 kes jangkitan direkodkan.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), daripada 19 kes,  lima dikaitkan dengan kes sebelum ini dan sudahpun dikuarantin manakala 10 lagi dikaitkan dengan kes terdahulu dan dikesan menerusi proses pengawasan.

Baki empat kes lagi tidak ada hubung kait dengan kes terdahulu.

Di samping itu, MoH juga melaporkan tujuh kes import baharu yang telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sejurus tiba di Singapura.

Lima daripadanya dikesan sebaik tiba di Singapura manakala dua lagi jatuh sakit sewaktu menjalani tempoh pengasingan.

Dengan perkembangan ini Singapura melaporkan 26 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan  kes di Singapura kini meningkat kepada 62,744 kes.  

Sementara itu MoH sedang menyiasat kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelayan sosial warga Vietnam, yang selalu mengunjungi kelab KTV, serta kontak rapat mereka.

Tempat-tempat itu buat masa ini beroperasi sebagai cawangan makanan dan minuman (F&B).

Bagi mengesan sama ada terdapat sebarang kes jangkitan dalam masyarakat, kementerian akan menjalankan operasi ujian khas ke atas semua kakitangan Supreme KTV (pusat beli-belah Far East), Empress KTV (pusat beli-belah Tanglin) dan Club Dolce (Balestier Point).

Ujian Covid-19 percuma juga ditawarkan kepada orang awam yang mengunjungi premis-premis terjejas itu atau kelab KTV serupa yang beroperasi sebagai cawangan F&B antara 29 Jun hingga 12 Julai.

Mereka yang berinteraksi dengan pelayan sosial warga Vietnam dalam mana-mana tempat antara 29 Jun hingga 12 Julai juga layak menerima ujian percuma tersebut.

Related posts

Leave a Comment