MH370: Operasi mencari tidak akan terhenti

PUTRAJAYA 6 Mac – Kerajaan tidak akan menghentikan usaha mencari atau siasatan berhubung tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 pada 8 Mac 2014 itu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, kerajaan akan menyambung semula operasi pencarian bagi mengesan lokasi terakhirnya jika terdapat maklumat baharu yang boleh dipercayai.

Katanya, Rabu ini merupakan ulang tahun kesembilan tragedi penerbangan MH370 hilang tanpa jejak yang meninggalkan seribu tanda tanya kepada ahli keluarga mangsa mengenai apa yang sebenarnya menimpa pesawat malang itu.

Loke berkata, tiada ucapan atau rasa simpati yang mampu mengubati atau memadam kesedihan serta kesengsaraan ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 yang kehilangan orang tersayang.

“Rakyat Malaysia akan sentiasa bersama anda dan berkongsi beban kesengsaraan ini. Kami menghormati semua nyawa yang terkorban dan tidak akan pernah melupakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pesawat Boeing 777-200 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi pada Sabtu itu dijadualkan tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi.

Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal, terdiri 38 rakyat Malaysia dan 153 warga China.

Bagaimanapun, pengawal trafik udara terputus hubungan pada pukul 1.30 pagi ketika pesawat dijejaki radar menyeberangi Laut China Selatan dan berada di selatan semenanjung Ca Mau, Vietnam.

Ia adalah laluan biasa dengan memasuki ruang udara Kemboja dan Vietnam, sebelum masuk ke ruang udara China.

Misteri kehilangannya menjadi perhatian seluruh dunia berikutan kegagalan menjejakinya, selain gerakan mencari dan menyelamat secara besar-besaran membabitkan pelbagai negara dilakukan.

Menghampiri sembilan tahun, misteri kehilangan MH370 masih belum terungkai hingga hari ini, biarpun pelbagai teori mengenai kejadian awal pagi 8 Mac itu timbul, namun masih belum terbukti.

Sehingga kini, MH370 terus menjadi misteri kehilangan terbesar dengan mencatatkan kos operasi carian paling tinggi dalam sejarah.

Related posts

Leave a Comment