Lapan rebut tiga kerusi Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR 2 Mac – Selepas Menteri Luar, Dr Zambry Abd Kadir menarik diri bagi jawatan Naib Presiden UMNO, jumlah calon bagi jawatan itu kekal lapan orang berikutan kemunculan calon kurang dikenali yang turut menawarkan diri.

Mohd Yusof Musa, antara yang sah bertanding dan menerima nombor calon hari ini bagi merebut salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan bagi penggal 2023/2026.

Tujuh lagi calon yang akan merebut jawatan sama ialah dua penyandang iaitu Menteri Pengajian Tinggi,  Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap,  Mahdzir Khalid.

Tiga lagi adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu Johari Abdul Ghani,  Reezal Merican Naina Merican dan Wan Rosdy Wan Ismail.

Calon lain adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam merangkap bekas Menteri Besar Johor,  Hasni Mohamad dan Ahli Parlimen Pengerang,  Azalina Othman Said.

Dalam cabutan undian nombor calon hari ini, mendahului senarai adalah Azalina (No. 1), Mahdzir (2), Johari (3), Mohd Yusof (4), Wan Rosdy (5), Reezal Merican (6), Mohamed Khaled (7) dan Hasni (8).

Sementara itu, 95 orang disahkan untuk merebut 25 kerusi anggota MKT yang menampilkan muka lama dan baharu, termasuk penyandang jawatan itu dan mereka yang pernah menganggotai MKT sebelum ini.

Turut menarik perhatian adalah bagi jawatan Pengerusi Tetap apabila penyandang, Tan Sri Badruddin Amiruldin akan dicabar oleh Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin manakala bagi jawatan timbalan pengerusi tetap pula, 10 calon menawarkan diri.

Sementara itu bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, empat orang disahkan bertanding iaitu Meor Hassan Mat Ali dengan nombor calon 1, diikuti Arman Azha Abu Hanifah (2), Muhamad Akmal Saleh (3) dan Mohd Shahar Abdullah (4).

Empat orang lagi menawarkan diri untuk jawatan Naib Ketua iaitu Ikmal Hazlan Ikmal Hisham (1), Mohd Nazifuddin Mohd Najib (2), Mohd Hairi Mad Shah (3) dan Mohd Farhan Khairuddin (4).

Sebanyak 113 orang calon menawarkan diri untuk mengisi 20 ahli jawatankuasa Pemuda (Exco) manakala tujuh calon untuk jawatan Pengerusi Tetap Pemuda dan 12 lagi bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap.

Related posts

Leave a Comment