217 kes harian Covid-19, dua kematian

PUTRAJAYA 2 Mac – Hari pertama bulan Mac merekodkan 217 kes jangkitan harian Covid-19 semalam, menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 206 kes yang dilaporkan kelmarin.

Menurut data portal KKMNow, jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,043,008
yang meliputi 5,004,323 kes tempatan dan 38,685 kes import.

Dua kematian juga direkodkan semalam termasuk satu kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) menjadikan jumlah yang meninggal dunia setakat ini 36,960 orang termasuk 7,874 kes BID.

Sementara itu, jumlah kes aktif turun sedikit kepada 9,230 berbanding 9,248 kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,882 kes atau 96.2 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 341 pesakit atau 3.7 peratus mendapat rawatan di hospital, tujuh daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana tiga orang masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 233 lagi pesakit dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,996,818 orang.

Bagi kes harian negeri, Selangor mencatatkan 86 kes berbanding 70 kes kelmarin diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 58 berbanding 39 kes sebelumnya manakala tiada kes baharu di Wilayah Persekutuan Labuan dan Terengganu.

Related posts

Leave a Comment