Kanak-kanak ditinggal dalam kereta

LIPIS 18 Feb. – Anggota bomba menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang terperangkap dalam kereta di hadapan sebuah pasar raya mini dekat sini kira-kira pukul 3 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis, Haslizan Ramli, berkata seramai enam anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan dan mendapati seorang kanak-kanak terperangkap dalam kereta Proton Saga.

“Kanak-kanak itu tertidur dalam kereta yang dikunci dari dalam dengan enjin masih hidup ketika penjaganya membeli-belah di premis berdekatan,” katanya.

Katanya, usaha mengejutkan kanak-kanak berkenaan gagal dan anggota bomba bertindak membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas.

Mangsa dikeluarkan anggota bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ibu bapa atau penjaga diingatkan berhati-hati dan tidak meninggalkan anak dalam kereta terutamanya ketika enjin dihidupkan dan dalam keadaan cuaca panas,” katanya .

(Foto Bomba Kuala Lipis)

Related posts

Leave a Comment