Khaled Nordin sedia pertahan Naib Presiden

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Ahli Parlimen Kota Tinggi, Mohamed Khaled Nordin, hari ini, mengulangi kesediaanya untuk bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya  pada pemilihan parti bulan depan.

Dalam video melalui Facebooknya hari ini, Mohamed Khaled menjelaskan, keputusan itu dibuat bagi membolehkan bersama kepemimpinan melaksanakan usaha pemulihan parti, selepas tewas teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Saya Mohamed Khaled Nordin ingin umumkan penawaran diri saya sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia yang tujuannya  adalah semata-mata untuk berkhidmat dan meneruskan khidmat kepada parti.

“Penawaran diri ini, saya sedar dalam keadaan dan saat parti kita tidak berada dalam kedudukan yang terbaik, dianggap jauh daripada orang Melayu,” katanya menerusi video yang dikongsi hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi itu pada 3 Februari lalu menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya dan melalui video hari ini, beliau menunjukkan borang pencalonan yang telah diisi.

Pengumuman itu menjadikan beliau pemimpin UMNO pertama yang mengesahkan dirinya bertanding merebut jawatan nombor tiga parti.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad, memaklumkan daripada  111 calon sudah mendaftarkan diri untuk pelbagai jawatan, belum ada yang mengesahkan pencalonan untuk jawatan Naib Presiden.

Mohamed Khaled dalam kenyataan melalui video itu berkata, beliau tekad mengembalikan kepercayaan yang hilang dalam kalangan orang Melayu terhadap UMNO dan ia wajar menjadi fokus utama semua ahli.

“Dengan bekerja bersama semua yang percaya bahawa parti yang lemah seperti parti kita pada hari ini, haruslah kita sama usaha bangkitkan kembali.

“Saya berharap mendapat keizinan semua agar saya dapat meneruskan ikhtiar untuk kita memeta perjalanan parti kita ini untuk masa kini dan masa akan datang,” katanya.

Selain Mohamed Khaled, beberapa nama pemimpin juga dijangka mengesahkan saingan mereka bagi merebut jawatan nombor tiga UMNO itu dalam masa terdekat ini.

Antara yang disebut-sebut ingjn menawarkan diri adalah, Ahli Parlimen Titiwangsa,  Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said; penyandang Naib Presiden UMNO,  Mahdzir Khalid serta Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Dr Zambry Abdul Kadir.

Seorang lagi penyandang jawatan Naib Presiden,  Ismail Sabri Yaakob, belum memutuskan sama ada mahu mempertahankan jawatan itu.

Bekas Perdana Menteri itu juga sebelum ini membayangkan kesediaan berundur daripada arus perdana politik untuk berehat terutama apabila rancangan beliau sebelum ini untuk berbuat demikian selepas berakhir penggal PRU14, belum terlaksana.

Difahamkan, setakat ini Ismail Sabri sudah menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatan Ketua UMNO bahagian Bera.

Pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 dibuka bermula 12 sehingga 26 Februari ini, di Auditorium Menara Dato’ Onn bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Bagi pemilihan jawatan di peringkat ahli jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian, pendaftaran dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO negeri.

Related posts

Leave a Comment