Timbalan Ketua Bersatu Segambut didakwa

KUALA LUMPUR 21 Feb. –  Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM500,000 berkaitan Jana Wibawa.

Adam Radlan, 42, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussain.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa meminta suapan wang tunai antara 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.

Is sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima bagi projek di bawah program Jana Wibawa daripada Kerajaan Malaysia.

Adam Radlan juga didakwa menerima suapan RM500,000 menerusi akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang bernilai RM47.8 juta.

Kedua-kedua kesalahan itu dilakukan sebuah restoran di Dutamas dan CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, di sini, pada Mac dan 26 November 2021, mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan tertuduh diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin serta syarat seperti dimohon pendakwaan, selain 23 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Related posts

Leave a Comment