Jangan bersikap menilik balas, menanti pujian

KUALA LUMPUR 13 Feb. –  Jangan bersikap menilik balas dan menanti pujian. Itu pesanan terakhir Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong kepada semua Ahli Dewan Rakyat.

Al-Sultan Abdullah berharap semua Ahli Parlimen akan menjaga nama baik dan kehormatan Dewan Rakyat dan berkhidmat setulus hati, dengan meletakkan rakyat dan masa depan negara sebagai keutamaan.

Pada masa yang sama wakil rakyat juga perlu mengenepikan agenda politik sempit, selain bersatu hati atas nama perpaduan.

Al-Sultan Abdullah memaklumkan istiadat pembukaan Parlimen Titah Diraja hari ini adalah yang terakhir buat baginda, sebelum dijadual menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari tahun depan.

Dalam titah itu, baginda menegaskan kestabilan landskap politik menerusi ikatan perpaduan dari ahli Dewan Rakyat hendaklah dijadikan sebagai manifestasi dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang.

“Sesungguhnya, perpaduan adalah penyatuan dalam perbezaan. Perpaduan adalah asas pembinaan kestabilan. Perpaduan adalah tiang kemakmuran. Perpaduan menyumbang kepada kemajuan. Perpaduan membawa kejayaan.

“Beta berdoa semoga Malaysia bersama rakyat yang beta kasihi akan terus hidup dengan penuh kerukunan atas dasar perpaduan dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam dan anggota barisan hadapan negara, khususnya tentera, polis dan petugas kesihatan yang berkhidmat secara profesional tanpa kenal penat dan lelah.

“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat beta yang telah hidup dengan penuh kerukunan dan aman damai serta terus gagah menghadapi pelbagai gelora pandemik kemurungan ekonomi dan kemelut politik yang melanda tanah air,” titah baginda.

Mengakhiri Titah Diraja, Al-Sultan Abdullah menarik perhatian Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pantun baginda.

Dalam pada itu, baginda juga bertitah, keutuhan keharmonian menerusi gagasan perpaduan, berlandaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan perlu dijadikan agenda utama, demi negara.

Menurut Al-Sultan Abdullah, semangat muhibah dan saling menghormati antara kaum adalah asas kepada kestabilan, manakala agenda perpaduan dalam konteks kebudayaan juga perlu diberi tumpuan melalui pelaksanaan program berorientasikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Titah baginda, ia juga selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya untuk mengamalkan sifat tasamuh atau toleransi dan menghindari gejala pelampau yang boleh menggugat keharmonian kaum.

“Beta menyambut baik inisiatif untuk memperkukuh agenda pembangunan ummah berasaskan prinsip maqasid syariah dalam pentadbiran negara, merangkumi aspek pemerkasaan pengurusan hal ehwal Islam seperti pendidikan Islam, undang-undang syariah, institusi kekeluargaan, pensijilan halal Malaysia dan pendidikan tahfiz al-Quran.

“Usaha ini penting bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai kekuatan kerohanian, intelektual dan sahsiah diri yang unggul,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment