KETIKA ini Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi sedang berada di seberang Tambak melakukan lawatan ke negara jirannya, Singapura. Lawatan tiga hari bermula semalam. Pastinya beliau sibuk menghadiri perjumpaan dengan pemimpin negara itu.
Di tanah air, ramai yang ternanti-nantikan adakah Onn Hafiz bersedia menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Mac ini?
Bagi mereka relakan jawatan No. 1 dan No.2 dibenarkan menang tanpa bertanding atau diberi kemenangan percuma tetapi jangan disekat atau dimatikan potensi anak-anak muda yang masih mahu bersama UMNO.
Mungkin inilah masa yang sesuai untuk UMNO berubah selepas terkulai layu dalam dua pilihan raya umum (PRU). Perubahan yang bermula di peringkat cawangan, bahagian dan juga Pusat sebelum Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Jawatan itu terbuka selepas penyandang Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu manakala calon popular, naib ketua Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama enam tahun.
Shahril Sufian antara calon berpotensi untuk memimpin Pemuda tetapi terhalang kerana penggantungan. Ini bermakna jawatan No. 1 dan No. 2 Pemuda terbuka untuk pertandingan.
Dan hari ini, Isnin 13 Februari bermulalah proses pendaftaran calon dan bagi mereka yang mahu bertanding di peringkat bahagian, pusat ataupun sayap di bahagian dan pusat boleh mendaftar sehingga 26 Februari ini.
Setakat ini, dua individu menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO itu, iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Setiausaha Pemuda UMNO, Hasmuni Hassan.
Mungkinkah Onn Hafiz menjadi calon ketiga? Biarkan dulu Menteri Besar Johor itu membereskan tugasannya di Singapura.
Beliau sudah tentu menerima pelbagai mesej mengenai pelbagai kenyataan yang meminta beliau menyertai pertandingan merebut jawatan No. 1 Pemuda yang terbuka untuk ditandingi.
Semalam bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan Onn Hafiz sebagai calon paling sesuai bagi memegang tampuk kepemimpinan Pemuda UMNO bagi penggal 2023-2026.
Qobin, berkata Onn Hafiz yang mempunyai aura tersendiri dirasakan pemimpin muda yang sesuai , selepas Shahril Sufian, yang digantung tanpa sebab.
“Bagi saya, untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO, seseorang itu hendaklah mempunyai pendirian yang tegas dan tidak menjadi ‘Yes Man’ atau ‘Pak Turut’,” kata Qobin dalam kenyataannya.
Mungkinkah kelantangan Onn Hafiz juga boleh dijadikan ukuran apabila beliau mengeluarkan kenyataan tegas berhubung keputusan PRU15 tahun lalu? Tidak ramai yang mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
Menyelak kembali kenyataannya sehari selepas PRU15, Onn Hafiz dilaporkan menggesa perubahan dalam kepemimpinan UMNO bagi memulihkan parti tersebut dan Barisan Nasional (BN).
“Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi ‘terkorban’, kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi. Kita semua sedia maklum bahawa tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.
Dengan penuh rasa hormat dan takzim, saya mohon supaya Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden dengan kadar segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak lakukan pada 2018.”, begitu kenyataan tegas Onn Hafiz.
Diharap pandangan Onn Hafiz dilihat secara positif bagi memulihkan UMNO walaupun dalam kalangan UMNO ada yang menganggap UMNO ‘baik-baik sahaja’ lebih-lebih lagi dua jawatan utama diberi kemenangan percuma.
Di samping itu Pemuda memerlukan pemimpin yang berani menerajui parti, lantang bersuara, mampu berdebat dan menyampaikan ucapan di forum-forum antarabangsa serta membawa perubahan dalam meremajakan parti.
Dalam hal ini, Qobin yakin Onn Hafiz mampu menerajui kepemimpinan Pemuda memandangkan pengalaman sebagai bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO semasa zaman Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda serta berpengalaman luas dalam mentadbir negeri dan negara.
Saranan Qobin mendapat sokongan calon Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Syed Mohd. Syed Nasir yang meminta Onn Hafiz bertanding jawatan Ketua Pemuda bagi mengembalikan semula maruah parti itu.
Katanya, sebagai cicit kepada pengasas parti keramat orang Melayu itu, Onn Hafiz bukan asing selepas mula terlibat secara langsung dalam UMNO pada tahun 2013.
Onn Hafiz pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sembrong pada 2013 hingga 2018 dan dalam masa sama sebagai Exco Pemuda UMNO serta Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau kemudiannya diberikan tempat untuk menjawat jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam pada tahun 2018 sebelum menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang.
Apabila Barisan Nasional (BN) menerajui kepimpinan negeri Johor selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Onn Hafiz dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pelancongan Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut dilihat sebagai seorang pemimpin yang semakin menyerlah apabila dilantik sebagai Menteri Besar Johor selepas BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022.
Siapa pun yang bakal bertanding atau menawarkan diri, biarlah mereka bertanding di gelanggang yang bebas bersih, tanpa dilabelkan orang itu dan orang ini.
Tidak perlu dicetuskan orang Presiden dan Timbalan Presiden atau sekutu mana-mana pemimpin dan kem, kecualilah UMNO itu hanya untuk UMNO, bukannya UMNO untuk bukan ahli yang hakikatnya masih menyokong UMNO atau BN semasa PRU.
Pucuk pimpinan pula tidak seharusnya rasa tergugat dengan penyertaan mana-mana kelompok terutama orang muda. Raikan kesediaan mereka untuk terus mengukuhkan UMNO. Hentikan persepsi pertandingan menjejaskan perpaduan.
