Perkasa lapor polis kenyataan Ramasamy

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan polis berhubung satu kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy baru-baru ini yang didakwa sangat bahaya.

Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, kenyataan itu jika tidak dikawal bukan sahaja boleh mendatangkan kemarahan majoriti orang Melayu malahan boleh terjadi rusuhan kaum.

Justeru Perkasa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi hari ini agar pihak berkuasa dapat menyiasat sekiranya ada unsur-unsur provokasi terhadap orang Melayu berikutan kenyataan wakil rakyat DAP itu.

Syed Hassan dalam laporan itu berkata, pada 10 Februari lalu, beliau terbaca satu kenyataan dari Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang ditularkan dalam banyak portal berita dan media sosial, termasuk Malaysia Gazette (MG).

“Laporan MG memetik kenyataan P. Ramasamy dari FB rasminya menggesa Perdana Menteri melihat kakitangan kerajaan didominasi satu kaum sahaja. Saya percaya beliau merujuk kepada kaum Melayu.

“Perkasa melihat kenyataan beliau adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang tercatat dalam Perkara 153 yang menyebut keistimewaan orang Melayu serta anak Negeri Sabah dan Sarawak untuk jawatan-jawatan dalam Kerajaan,” katanya.

Berikutan kenyataan itu, Syed Hassan juga mendapati pelbagai pihak mengecam Ramasamy dalam isu yang sama dan ini memerlukan pihak polis menjalankan siasatan segera.

Semalam berikutan kecaman pelbagai pihak, Ramasamy mendakwa kenyataananya  yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara diputar belit beberapa penerbitan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, pandangan berkenaan perkhidmatan awam adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan kedudukan parti atau pemimpinnya.

Jelas beliau, kenyataannya menyentuh keperluan untuk pembaharuan dalam perkhidmatan awam telah bincangkan pada masa lalu atas dasar semangat membawa perubahan yang bermakna kepada amalan tadbir urus.

“Perkara yang menggesa perubahan kepada amalan tadbir urus, tidak sama dengan ‘memecahkan monopoli orang Melayu’,” katanya.

Related posts

Leave a Comment