Tunggu sekejap RON95 tetap turun

JOHOR BAHRU 13 Sept. – Harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang akhir bulan ini seperti dijanjikan kerajaan Madani, kata Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat menikmati harga bahan api yang lebih rendah, berbanding harga sebenar di pasaran untuk meringankan beban rakyat.

“Ada yang marah kerana September sudah tiba tetapi harga minyak belum turun. Saya kata sebelum akhir September. 10 September akhir bulan ke? 15 September akhir bulan ke? Tunggu sekejap. Turun atau tidak? turun.

“Cuba beritahu saya, negara mana lagi yang bagi rakyat harga serendah ini? Kita janji, kita tunaikan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.

Menteri Kewangan itu berkata harga RON95 kini berada pada paras RM2.05 seliter berbanding harga sebenar tanpa subsidi yang mencecah RM2.50 hingga RM2.60 seliter.

Anwar juga menjelaskan lawatan-lawatan rasmi beliau ke luar negara dilakukan atas jemputan pemimpin luar, bukannya untuk bersuka ria.

Anwar berkata perkara itu selaras dengan kedudukan dan status Malaysia yang dipandang tinggi di peringkat antarabangsa.

“Orang selalu kata saya banyak keluar negara. Ingat senang ke, saya pergi bercuti? Ini kerja. Ingat jalan-jalan tak ada apa, ini Perdana Menteri banyak jalan sebab orang (pemimpin) jemput,” katanya.

Sebagai contoh, Anwar berkata, beliau menerima jemputan rasmi Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam pada 15 September ini bagi membincangkan situasi kritikal di Palestin, khususnya di Gaza.

Beliau berkata, sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia perlu berani bersuara serta memainkan peranan aktif dalam arena antarabangsa.

Related posts

Leave a Comment