12 rakyat Malaysia di kawasan gempa selamat

SEPANG 6 Feb. – Dua belas rakyat Malaysia yang dilapor berada dalam kawasan gempa bumi di tenggara Turkiye pagi tadi selamat, kata Menteri Luar, Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata pihaknya percaya semua individu terbabit adalah mereka yang bekerja di negara berkenaan.

“Kita sedang mendapatkan maklumat selanjutnya dari Kedutaan Malaysia di Turkiye berkaitan keadaan dan situasi semua individu itu.

“Berdasarkan maklumat awal , mereka berada dalam keadaan selamat sebelum keadaan sebenar dapat diketahui dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam ini.

Zambry berkata, setakat ini, pihak berkuasa Turkiye memaklumkan hanya aplikasi WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) digunakan untuk berkomunikasi dengan semua rakyat Malaysia di kawasan terjejas.

“Kita berharap semua rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas untuk mengikuti segala arahan pihak berkuasa negara berkenaan untuk terus berwaspada dan mengikuti maklumat dan arahan semasa yang dikeluarkan,” katanya.

Katanya, Wisma Putra sentiasa memantau sebarang situasi membabitkan rakyat Malaysia dari semasa ke semasa menerusi Kedutaan Malaysia di Turkiye.

Related posts

Leave a Comment