JOHOR BAHRU 3 Feb. – Fatwa mengenai larangan ke atas orang Islam hadir ke upacara ritual perayaan penganut agama bukan Islam di negeri ini tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefahaman antara pelbagai kaum dan agama
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menegaskan fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) semalam hanya melarang orang Islam daripada mengambil bahagian dalam ritual agama lain.
“Ia adalah garis panduan untuk mereka (orang Islam). Namun orang Islam masih boleh menghadiri majlis perayaan agama lain. Penganut agama lain juga mesti menghormati sensitiviti umat Islam. Ia adalah saling-menghormati.
Kita mesti peka terhadap kewajipan agama penganut lain dalam memastikan kita sentiasa berbaik-baik,” titah baginda dalam kenyataan dimuat naik akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim, semalam.
Sultan Johor juga bertitah, memandangkan semua agama menekankan nilai-nilai murni seperti belas kasihan, hormat-menghormati, toleransi, kesederhanaan dan kebaikan, rakyat Malaysia harus memberi tumpuan kepada nilai-nilai berkenaan, bukannya saling cari perbezaan antara kaum atau agama.
Kelmarin, MAINJ dilaporkan bakal mewartakan fatwa mengenai larangan ke atas orang Islam hadir ke upacara ritual perayaan penganut agama bukan Islam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan berkata, fatwa yang sudah diperkenan Sultan Johor itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), minggu hadapan bagi mendapatkan kelulusan sebelum diwartakan.
(FOTO FB THE ROYAL JOHOR)
