UMNO perhalusi kerusi PRN Selangor

SHAH ALAM 3 Feb. – UMNO Selangor sudah memperhalusi kerusi yang ingin ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin.

Beliau berkata, bayangan jumlah kerusi yang bakal ditandingi juga sudah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Mohamad Satim Diman diminta memanggil mesyuarat Barisan Nasional (BN) bagi maklumkan kerusi yang sudah perhalusi dan dipersetujui oleh UMNO untuk diputuskan di peringkat BN.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor, di sini hari ini, beliau berkata, selepas perbincangan bersama parti komponen BN selesai, perbincangan akan diteruskan bersama kepemimpinan Pakatan Harapan (PH).

Megat Zulkarnain berkata, walaupun tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU lalu, jumlah undi yang diterima masih tinggi terutamanya di kawasan majoriti Melayu.

Justeru, katanya, aspek jumlah undi perlu ada dalam asas rundingan bagi pembahagian kerusi.

Sementara itu, beliau memaklumkan Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Selain itu, Setiausaha Wanita UMNO, Rosni Sohar; Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Johan Abdul Aziz dan Ketua Penerangan UMNO Selangor, merangkap Ketua UMNO Sungai Besar, Jamal Md Yunos, menyatakan keinginan untuk bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Related posts

Leave a Comment