Biden ucap tahniah kepada Anwar

PUTRAJAYA 27 Jan. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, hari ini menerima ucapan tahniah daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, susulan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Anwar menerusi media sosialnya dan turut memuat naik sepucuk surat bertarikh 24 Januari yang dikeluarkan Rumah Putih.

Anwar berkata, Biden turut memuji demokrasi Malaysia pada pilihan raya itu dan menyatakan ia memberi inspirasi kepada banyak pihak lain.

Dalam surat yang ditandatangani Biden, Presiden AS itu berkata, ketika demokrasi di dunia berdepan cabaran, pilihan raya di negara ini mempamerkan keutuhan demokrasi.

Beliau juga berkata, dedikasi Anwar terhadap perkhidmatan awam akan membantu keamanan dan kemakmuran rantau ini.

Biden juga menyatakan komitmen untuk mengeratkan hubungan dengan Malaysia, termasuk dalam bidang ekonomi digital, krisis iklim dan keselamatan tenaga di samping bekerja rapat bagi faedah bersama rakyat kedua negara..

Dalam surat itu, Biden turut menyatakan, hubungan antara Malaysia dan AS dibina atas asas ekonomi, keselamatan serta hubungan antara manusia yang kuat, yang turut membantu mengukuhkan kebebasan, keselamatan dan kemakmuran di rantau Indo Pasifik.

Beliau turut memberi jaminan untuk mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara, termasuk membina pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan rantaian pengedaran yang berdaya tahan menerusi Kerangka Kerja Ekonomi Indo Pasifik.

Related posts

Leave a Comment