8.8 % babit sektor pembuatan

KUALA LUMPUR 26 Julai – Hanya 8.8 peratus kes jangkitan Covid-19 tempat kerja membabitkan sektor pembuatan antara 1 Jun hingga 23 Julai lalu, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, daripada 408,134 kes yang dicatatkan dalam tempoh yang sama, hanya 35,968 kes membabitkan sektor pembuatan.

“Data daripada Kementerian Kesihatan dan maklumat disediakan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan menyatakan 69 peratus kes jangkitan dalam tempoh berkenaan ialah kes sporadik dan 31 peratus kes jangkitan daripada kluster.

“Saya hendak jelas bagi satu sektor pembuatan hanya menyumbang 1,203 kes jangkitan atau 8.8 peratus daripada keseluruhan kes dalam tempoh berkenaan (penutupan menyeluruh),” katanya mencelah penggulungan Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai percanggahan data kes yang dibentangkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dengan maklumat disampaikan Tengku Zafrul.

Mohamed Azmin turut menempelak Anwar yang mengemuka maklumat yang tidak tepat dan tidak mengemuka fakta dan bukti yang benar.

Related posts

Leave a Comment